Tapak perkhemahan dilanda banjir, 80 peserta dipindah ke PPS

Peserta perkhemahan mengemas barangan yang dibawa setelah aktiviti mereka dihentikan lebih awal berikutan bencana banjir.
Peserta perkhemahan mengemas barangan yang dibawa setelah aktiviti mereka dihentikan lebih awal berikutan bencana banjir.
A
A
A

BALING - Kira-kira 80 peserta yang sedang mengikuti perkhemahan unit beruniform di Tapak Perkhemahan Lubuk Badak, Ulu Legong di sini terpaksa menamatkan aktiviti lebih awal berikutan dilanda banjir pada Khamis.

Difahamkan, kesemua peserta yang terdiri daripada ahli Tunas Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan Pengakap tiba di tapak perkhemahan pada tengah hari Khamis sebelum hujan lebat dan berterusan pada sebelah malam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan jadual perkhemahan sehingga Sabtu terpaksa dihentikan lebih awal.

Mohd Faizol
Mohd Faizol

Menurutnya, akibat bimbang keselamatan berikutan tapak perkhemahan mereka dilanda banjir menyebabkan pihak penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia, Rela dan orang awam telah memindahkan peserta ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, Baling.

"Proses perpindahan dilakukan dalam masa singkat, tindakan awal telah diambil oleh guru dan kami membantu memindahkan dari lokasi perkhemahan membolehkan mereka bermalam di PPS," katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd Faizol, kesemua peserta dari SK Seri Perdana, Alor Setar itu bagaimanapun telah dibawa pulang ke Kota Setar dengan menaiki dua buah bas yang menunggu di PPS SK Siong kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kesemua peserta dibawa pulang ke daerah Kota Setar menggunakan dua buah bas pada Jumaat.
Kesemua peserta dibawa pulang ke daerah Kota Setar menggunakan dua buah bas pada Jumaat.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati mana-mana pihak yang ingin menganjurkan aktiviti perkhemahan agar mengambil kira keadaan semasa dan cuaca yang tidak menentu.

"Nasihat APM kepada penduduk, badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya elak melakukan aktiviti di tepi sungai atau tempat peranginan sebab musim peralihan monsun ini kemungkinan berlaku kejadian tidak dijangka seperti kepala air.

"Kita kena ambil langkah awal elak berkunjung ke tempat risiko,"katanya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga jam 12 tengah hari, mangsa banjir lain yang terjejas masih ditempatkan di tiga buah PPS di Baling termasuk di SK Seri Bayu (21 orang), SK Siong (126 orang) dan SK Parit Panjang (12 orang).

APM memantau pergerakan peserta perkhemahan yang dipindahkan ke PPS SK Siong, Baling.
APM memantau pergerakan peserta perkhemahan yang dipindahkan ke PPS SK Siong, Baling.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!