AS tidak akan terlepas jika perang di Gaza berterusan - Iran
IRAN memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) sekiranya tindakan Israel terhadap pejuang Hamas tidak dihentikan di Semenanjung Gaza, Washington akan turut terkena tempias.
Amaran itu disuarakan Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis.
Katanya, AS yang menguruskan pembunuhan beramai-ramai di Palestin dan Iran tidak mengalu-alukan perluasan perang di rantau itu.
"Israel telah menyerang Gaza dari udara, mengenakan kepungan dan sedang bersedia untuk pencerobohan darat," katanya.
Amirabdollahian berkata, Hamas telah memberitahu Iran bahawa mereka bersedia untuk membebaskan tebusan awam.
Tambahnya lagi, Hamas memberitahu bahawa dunia harus mendesak pembebasan 6,000 rakyat Palestin di penjara Israel.
Selain itu katanya, Iran bersedia memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan yang sangat penting bersama Qatar dan Turkiye.
Sememangnya, pembebasan 6,000 tahanan Palestin adalah satu lagi keperluan dan tanggungjawab masyarakat global. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!