Anggota polis didakwa pukul ibu mentua
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan ibu mentuanya.
P Hemaath Kumar, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 63 tahun itu dengan memukulnya menggunakan tangan di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling di sini pada 9.20 malam, 25 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh, manakala peguam Vinod Sharma yang mewakili Hemaath Kumar memohon jaminan rendah.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin dan 20 November ditetapkan untuk sebutan kes.
Tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan memukul isterinya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!