Warga emas sebak diusung redah arus banjir

Badariah yang mengalami sakit lutut terpaksa diusung anggota APM ke PPS SK Siong.
Badariah yang mengalami sakit lutut terpaksa diusung anggota APM ke PPS SK Siong.
A
A
A

BALING - Seorang warga emas sebak ketika diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas terperangkap dalam banjir di rumahnya dekat Kampung Baru, di sini pada Khamis.

Badariah Ali Abdullah, 84, berkata, disebabkan tidak mampu berjalan akibat sakit lutut, dia terpaksa diusung beberapa anggota bagi meredah arus banjir sejauh kira-kira 300 meter untuk diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Siong lebih kurang jam 10 malam.

"Saya tinggal bersama anak dan cucu, saya tidak dapat berjalan kerana masalah lutut, jadi mereka datang menyelamatkan saya menggunakan pengusung, tak silap lapan anggota yang usung saya, manakala suami saya didukung oleh beberapa anggota.

Che Noor dan Badariah menunjukkan rumah mereka yang terjejas banjir.
Che Noor dan Badariah menunjukkan rumah mereka yang terjejas banjir.

"Sambil menangis saya banyak istighfar dan berdoa semoga kami selamat, Alhamdulillah," katanya.

Suaminya, Che Noor Man, 85, berkata, rumah mereka sudah tiga kali dinaiki air sebelum ini dan kali ini mencecah hampir satu meter.

Bagaimanapun, dia dan isteri kembali ke rumahnya pagi Jumaat untuk proses mencuci dan bersyukur anak serta cucu mereka selamat biarpun tidak berpindah kerana hanya berlindung di bahagian atas rumah.

Seorang lagi mangsa banjir dari kampung yang sama, Mohammad Hazarul Azan Mohd Zahari, 29, berkata rumahnya dinaiki air kira-kira jam 9 malam dan ahli keluarganya mula dipindahkan ke PPS pada jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Hazarul Azan sedang mencuci rumah keluarga di Kampung Baru yang dinaiki air pada Khamis.
Mohammad Hazarul Azan sedang mencuci rumah keluarga di Kampung Baru yang dinaiki air pada Khamis.

"Tahun ini saja sudah empat kali rumah kami dinaiki air, apabila hujan tidak berhenti sejak 3 petang, kami sekeluarga berjaga-berjaga dan menaikkan barang elektrik ke tempat tinggi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz, berkata sehingga jam 12 tengah hari, mangsa banjir yang terjejas masih ditempatkan di tiga buah PPS di Baling termasuk SK Seri Bayu (21 orang), SK Siong (126 orang) dan SK Parit Panjang (12 orang).

Katanya, hujan yang lebat sejak petang semalam menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke rumah penduduk di lebih 10 buah kampung di Baling.

"Ada rumah air naik sehingga paras 1.2 meter, jadi kami mengutamakan warga emas, orang yang sakit serta kanak-kanak untuk diselamatkan dan dipindahkan ke PPS malam tadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!