[VIDEO] ‘Papa, mama jangan nangis, kalau gugur insya-ALLAH Ain syahid’
KUALA LUMPUR - “Papa dan mama jangan nangis, kami selamat. Kalau gugur, insya-ALLAH Ain syahid.”
Itu kata-kata seorang rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang kini berada di Gaza bersama suami warganegara Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33.
Bapanya, Haron Hamim, 65, dan ibu, Mastura Yusof, 64, ketika ditemui di rumahnya dekat sini berkongsi perasaan bimbang mengenangkan nasib anak dan menantu susulan serangan rejim Zionis ke atas Gaza.
“Setiap kali kami berhubung melalui WhatsApp, Nurul Ain mesti cakap jangan menangis, mereka selamat. Dia tak bagi kami mengalirkan air mata kerana bimbang akan lemahkan semangatnya.
“Dia anak yang hebat kerana tidak pernah tunjukkan wajah sedih. Menantu seorang yang baik dan cakap juga jangan risau kerana akan jaga Nurul Ain sebaik-baiknya," katanya.
Ujar Haron, anaknya sebelum ini tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum pulang ke kampung suami di Gaza pada 1 Oktober lalu buat kali pertama selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga.
Nurul Ain turut menyambut ulang tahun kelahiran di sana pada 11 Oktober dengan dentuman bom yang dilancarkan Israel.
Tambah Haron, konflik di Gaza membuatkan hatinya tidak tenang memikirkan keselamatan Nurul Ain namun reda dengan takdir dan ketentuan ALLAH SWT.
“Sebagai seorang ayah, saya cukup risau fikirkan keadaan di sana tetapi yakin dia akan selamat.
“Saya juga mohon kepada semua rakyat Malaysia untuk doakan Nurul Ain dan seluruh rakyat Palestin,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!