Kerani sekolah pancing udang dikhuatiri lemas jatuh bot
KUALA KANGSAR - Seorang kerani sekolah dikhuatiri lemas ketika memancing udang di Lubuk Batu Mat Gan, Sungai Perak berhampiran Kampung Tahan Kati di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa, Muhammad Faiz Azam, 33, telah terjatuh selepas bot dinaiki bersama dua rakannya terlanggar batu dan tersangkut.
"Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu berlaku ketika mereka mahu memancing udang dan apabila sampai di kawasan lubuk berkenaan, bot dinaiki mereka terlanggar batu.
"Insiden itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian hadapan telah terjatuh.
"Rakan mangsa cuba menghidupkan enjin bot untuk membantu namun mangsa telah dibawa arus dan tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
"Fasa pertama operasi dilaksanakan merangkumi radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa jatuh.
"Operasi memfokuskan di bahagian tebing sungai dan kaedah selaman dilakukan pasukan bomba di lokasi mangsa terjatuh," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, operasi melibatkan pasukan Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!