Hentikan tular isu Wan Azizah, fokus bantu rakyat Palestin
ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah meminta orang ramai menghentikan tohmahan terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri Israel.
Ketua AMK Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada isu lebih serius dalam membantu rakyat Palestin yang kini berdepan kesengsaraan akibat serangan Israel.
Menurutnya, hantaran yang tular di media sosial mengaitkan Wan Azizah dengan pemimpin Israel adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan seharusnya dihentikan selain menjadi pengajaran buat warganet sebelum menyebarkan sesuatu isu.
“Sepatutnya setiap perkara yang bakal dikongsi perlu dinilai secara adil dan dalam penyampaian konteks yang jelas dan tepat.
“Ini kerana tohmahan itu dibuat sewaktu perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat, yang menjadi tradisi bagi meraikan semangat demokrasi selain beramah mesra dan berkongsi pandangan.
"Ia berlaku sebelum tercetusnya pergolakan di Gaza,” katanya di sini pada Jumaat.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu tegaskan, AMK Kedah mengecam perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti itu apatah lagi ia melibatkan perkara sensitif.
“Di saat dunia sedang meratapi kepedihan saudara kita di bumi Palestin, di saat pemimpin dunia mencari solusi terbaik, di saat anak-anak kecil dan wanita bermandi peluru dan darah, janganlah kita ambil peluang untuk menjadi peraih murahan dalam kemelut yang melanda,” jelasnya.
Menurutnya lagi, konflik yang berlaku di Tebing Gaza merupakan peristiwa pahit bagi seluruh umat manusia.
“Kekejaman rejim zionis adalah perbuatan keji yang memerlukan solidariti kita bersama atas prinsip kemanusian.
“Kerajaan Perpaduan juga tegas pendirian dalam membantah penindasan rakyat di Gaza selain menolak penubuhan negara haram Israel,” ujarnya.
Mohammed Taufiq berkata, ketegasan terhadap isu Palestin sering disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada di kalangan negara-negara Islam mahupun pentas antarabangsa.
“AMK Kedah juga mohon segenap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan budaya untuk bersama-sama nyatakan solidariti, serta mendoakan kesejahteraan saudara kita di Gaza,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!