PPIM selar wakil rakyat bantah Minggu Solidariti Palestin di sekolah

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Nadzim)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Nadzim)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan dua wakil rakyat dari Sarawak yang membantah pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di kesemua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pelaksanaan minggu tersebut secara tidak langsung akan menyedarkan pelajar tentang kepentingan bersolidariti di pelbagai peringkat kerana ia mampu menggugat syarikat korporat dunia.

"Apakah mereka (wakil rakyat Sarawak) menyokong Israel? Tidakkah mereka mahu semua rakyat Malaysia tahu penindasan yang berlaku dan apa cara semua rakyat Malaysia termasuk pelajar boleh lakukan untuk mengubah keadaan itu?

“Jangan jadikan Palestin sebagai isu agama. Lihat pada gambaran lebih meluas. Jangan kolot sangat minda itu.



"Atau perlukah rakyat memilih wakil rakyat baharu yang lebih celik mengenai isu global?” soalnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang memaklumkan institusi pendidikan tidak sepatutnya terlibat dalam pertikaian politik global termasuk krisis Israel-Palestin.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, wakil rakyat perlu bersama kerajaan Malaysia dalam menentang keganasan.

“Jika mereka tidak senada dengan kerajaan Malaysia, layakkah mereka mewakili suara rakyat yang sebulat suara menentang kezaliman Israel?

Artikel Berkaitan:

"Apakah mereka mahu menyembunyikan kebenaran daripada pelajar sekolah dan menganggap pelajar sekolah tidak boleh bersuara," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, program solidariti di peringkat sekolah secara tidak langsung akan mendidik pelajar mengenai isu global, pendirian negara dan kepentingan politik.

Menurutnya, langkah itu wajar kerana pelajar sekolah tidak digalakkan menyertai himpunan awam mengenai isu Palestin.

“Kita mahu anak-anak sekolah ini mengetahui isu yang melanda Palestin. Menerusi program solidariti bersama Palestin di peringkat sekolah, mereka akan didedahkan tentang perkara sebenar yang sedang berlaku.

"Pelajar dapat bertanya soalan, mendekati atau menghayati penderitaan yang dilalui kanak-kanak sebaya mereka di Palestin dan menyedari kezaliman Israel," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!