Lagu Izinkan Aku, buah tangan terakhir Bad bersama Indigo
KETERUJAAN Allahyarham Bad untuk melancarkan lagu baharu bersama Indigo kini tinggal kenangan buat anggota kumpulan yang lain.
Jelas Shah atau nama penuhnya Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, 49, arwah begitu beria mengajak anggota yang lain termasuk Zam (Shahrul Nizam Abdul Aziz, 48) dan Shaz (Nor Shazman Nor Shahid, 48) untuk merakamkan single baharu kumpulan itu.
Bahkan lagu tersebut sudah pun siap minggu lalu dan mereka sedang mencari tarikh sesuai untuk penggambaran muzik video.
"Sejak awal, dia paling teruja untuk merakamkan lagu ini walaupun kami terpaksa melalui proses rakaman berasingan kerana Zam tinggal di Johor.
“Sepatutnya selepas ini pembikinan muzik video pula menyusul, tetapi arwah pergi dulu.
"Insya-ALLAH kami akan bincang semula perancangan untuk lagu ini dan pastinya Izinkan Aku akan jadi tribute buat Allahyarham," ujarnya.
Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah disahkan meninggal dunia sekitar jam 7 malam, pada Khamis selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.
Sementara itu, Shah berkata, dia sudah lama mengetahui arwah mempunyai masalah jantung dan merahsiakan perkara itu atas permintaan arwah.
Bagaimanapun selepas mengubah diet dan rutin harian, arwah kelihatan lebih sihat.
"Kebanyakan tahu arwah ada masalah kencing manis, tetapi arwah ada masalah jantung daripada 2015 lagi. Malah sepanjang kami bekerja bersama, sudah empat kali arwah jatuh sakit.
"Arwah tak suka cerita masalah dia, jadi bila saya tahu keadaan dia, saya simpan rahsia itu dan cuba untuk nasihatkan dia untuk jaga kesihatan. Arwah pun dah ubah gaya hidup yang lebih sihat, cuma sudah tiba ajalnya," katanya yang juga menyifatkan Allahyarham seorang yang penyayang dan kelakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!