Akibat goyang gerudi, karnival di Simpang Renggam dihentikan

Tangkap layar aksi goyang gerudi ketika kumpulan band tempatan mengadakan persembahan di sebuah acara karnival di Simpang Renggam.
Tangkap layar aksi goyang gerudi ketika kumpulan band tempatan mengadakan persembahan di sebuah acara karnival di Simpang Renggam.
A
A
A

KLUANG - Penganjuran sebuah acara karnival di Simpang Renggam terpaksa dihentikan pihak berkuasa berikutan tular di media sosial aksi sekumpulan wanita menari goyang gerudi ketika kumpulan band tempatan membuat persembahan.



Karnival selama 10 hari di Dataran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Simpang Renggam itu sepatutnya berakhir pada Ahad ini dihentikan pihak berkuasa pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd Azmi Husin mengesahkan kejadian berlaku di sebuah karnival di Simpang Renggam pada Khamis, kira-kira jam 11 malam.

"Pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) telah mengambil tindakan dengan membatalkan permit penganjuran karnival kerana didapati melanggar syarat penganjuran ditetapkan ketika permit dikeluarkan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat berkata, tindakan itu turut menjejaskan peniaga tempatan yang mencari rezeki di karnival berkenaan.

Menurutnya, kira-kira 50 buah gerai dibuka di acara karnival tersebut.

"Pada Rabu dan Khamis, satu kumpulan band tempatan dijemput untuk membuat persembahan bagi menarik kedatangan orang ramai.

"Namun tidak disangka sekumpulan wanita berada atas pentas dan membuat goyang gerudi menyebabkan pengunjung lelaki turut serta malah ada yang naik ke atas pentas," katanya.

Menurut Rahmat lagi, lebih malang lagi aksi mencolok mata itu turut tular di TikTok hingga mengundang kecaman orang ramai dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan menghentikan karnival tersebut.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada tindakan itu, peniaga mengalami kerugian ribuan ringgit apabila stok jualan disediakan untuk sepanjang karnival tidak dapat dijual.

"Walaupun sudah berniaga enam hari, namun kami hanya memperolehi jualan sekitar RM200 sehari sehingga keluar duit sendiri untuk membayar gaji pekerja.

"Kami amat kesal dengan pihak penganjur yang sama ada segaja atau tidak telah membenarkan aktiviti hiburan sehingga adanya goyang gerudi seperti ini dan menyebabkan karnival terpaksa dihentikan," katanya.