Pembangunan aset, perumahan ATM selari matlamat kerajaan - PM Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pembangunan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) menjadi pemangkin agar ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, pembangunan aset ATM dan pembangunan perumahan itu selari dengan matlamat kerajaan untuk menjaga kebajikan bertunjangkan Konsep Malaysia Madani yang bakal memberikan faedah kepada warga tentera, ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem.

Pembangunan aset ATM melibatkan pemindahan Pusat Latihan bagi Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) dan Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) ke kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Kompleks baharu, ditambah kebhinekaan (kepelbagaian) kemudahan-kemudahan yang ada, pastinya membantu warga kerja pertahanan yang terdiri daripada anggota ATM, warga veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan untuk memiliki rumah yang selesa di Kuala Lumpur di bawah harga pasaran,” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Terdahulu, Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pulapot, ARW dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya.

Perjanjian yang melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef), Syarikat Tanah dan Harta Sdn Bhd, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Platinum Victory Development Sdn Bhd itu turut dihadiri, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kompleks di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan itu akan dilengkapi Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, dewan serba guna, kemudahan bilik latihan, kemudahan bilik penginapan, padang kawad, sirkit menempuh halangan, lapang sasar pistol dan kemudahan lain yang memberi manfaat kepada Pulapot dan ARW.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan semula aset ATM iaitu Pulapot, ARW dan RKAT serta kemudahan berkaitan yang kini bertempat di Kem Genting Klang di sini. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!