Kebocoran arus punca peniaga burger maut kena renjatan elektrik

Insiden renjatan elektrik di gerai burger meragut dua nyawa pada 15 Oktober lalu.
Insiden renjatan elektrik di gerai burger meragut dua nyawa pada 15 Oktober lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kebocoran arus yang disebabkan oleh kabel bekalan fasa hidup yang luka dan terkena pada kerangka kabin gerai jenis besi dan zink, dikenal pasti sebagai punca insiden renjatan elektrik di gerai burger di Taman Bercham Jaya, Ipoh, Perak hingga meragut dua nyawa, pada 15 Oktober lepas.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, penemuan itu adalah hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak suruhanjaya selaras dengan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

"Ini telah menyebabkan kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila tersentuh dengan bahagian badan kabin gerai yang bertenaga tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 15 Oktober lepas, dua lelaki berusia 14 dan 30 tahun yang sedang bekerja di gerai burger telah ditemukan tidak sedarkan diri di tepi gerai akibat terkena renjatan elektrik, dan disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

ST berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan.

Suruhanjaya turut menggariskan beberapa panduan keselamatan penggunaan elektrik untuk rujukan pemilik, pengusaha perniagaan dan orang ramai antaranya memastikan tiada sambungan elektrik secara haram, dan melantik kontraktor elektrik dan orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja pendawaian elektrik. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!