Serangan darat Israel hanya video propaganda?
TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan rakaman video kempen pencerobohan waktu malam ke atas Genting Gaza pada Khamis ketika konflik bersama gerakan Hamas sudah memasuki hari ke-21.
Klip berwarna hitam putih dipercayai telah disunting itu turut disertakan dengan kapsyen persediaan untuk operasi tempur fasa seterusnya di utara Genting Gaza, malah ia mendakwa kereta kebal milik mereka telah membedil sejumlah 'sel pengganas' dan infrastruktur milik musuh sebelum kembali ke pangkalan di sempadan.
Realitinya, rejim Zionis cuba menyampaikan 'mesej amaran palsu' menerusi rakaman video propaganda tersebut yang kononnya menunjukkan kemaraan IDF untuk memperhebatkan operasi serangan darat seperti diuar-uarkan sejak dua minggu lalu.
IDF mahu menunjukkan kepada dunia mereka sedang merancang kempen lebih ganas dan mendedahkan petunjuk tentang strategi yang kononnya bertujuan mahu menakut-nakutkan pejuang Hamas.
Beberapa penganalisis mula mempersoalkan kesahihan rakaman tersebut berdasarkan formasi konvoi kereta kebal yang didakwa lebih berisiko dan terdedah kepada serangan musuh.
Pada Jumaat, IDF dengan bangga mencanangkan unit infantri disokong pasukan udara termasuk jet pejuang dan dron telah melancarkan serangan ke atas sejumlah sasaran di tengah Gaza.
Kempen pencerobohan berskala besar itu 'dilancarkan' setelah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berulang kali memberi amaran kononnya IDF sudah siap siaga untuk bertempur di bawah operasi darat walaupun beberapa cubaan sebelum ini berjaya ditangkis dengan mudah oleh Hamas. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!