'Hasrat perintah Perak hanya angan-angan'

Saarani (dua dari kiri) pada Jumaat menyampaikan sijil penghargaan kepada penyanyi cilik, Amir Sisi yang menjadi juara dalam satu program realiti televisyen, baru-baru ini.
Saarani (dua dari kiri) pada Jumaat menyampaikan sijil penghargaan kepada penyanyi cilik, Amir Sisi yang menjadi juara dalam satu program realiti televisyen, baru-baru ini.
A
A
A

GERIK - Kenyataan pembangkang yang menyatakan keyakinan bahawa Pas akan memerintah kerajaan Perak dalam tempoh terdekat disifatkan sebagai angan-angan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu tidak akan berlaku berikutan terikat kepada Enakmen Antilompat Parti yang telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember tahun lalu.

"Dalam masa terdekat itu yang menjadi persoalan. Ini bermakna mereka kena cari ‘jalan belakang’ dengan mengalih sokongan atau ‘mencuri’ sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan untuk menyokong mereka.

"Itu sudah tentu tidak akan berlaku kerana saya hendak beritahu kepada orang ramai jangan bimbang kerana kita ada undang-undang melarang ADUN bertukar parti.

"Jika ada ADUN yang berbuat demikian, mereka akan kehilangan kerusi mereka itu.

"Biarlah mereka dengan angan-angannya. Tidak mengapa, tidak salah untuk berangan, bukan kena bayar pun kalau hendak berangan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Bersama-Sama Warga Pendidik Daerah Hulu Perak di sini pada Jumaat.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menegaskan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mempertahankan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka berjuang bermati-matian untuk merampas negeri ini, saya hendak beritahu kami pun akan berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negeri," katanya.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak membuat laporan polis susulan ucapan ADUN Kamunting, Mohd Fakhrudin Abd Aziz ketika Muktamar Pas kali ke-69 baru-baru ini.

Kenyataannya bahawa Pas akan memerintah kerajaan negeri Perak dalam masa terdekat di dalam ucapan itu juga perlu disiasat kerana ia menimbulkan ketidakstabilan serta menghilangkan keyakinan pelabur ke negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!