Malaysian Tigress mula langkah kiri di India

Pencapaian terbaik Malaysia pada ACT wanita edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun. - Gambar fail.
Pencapaian terbaik Malaysia pada ACT wanita edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun. - Gambar fail.
A
A
A

SKUAD Malaysian Tigress memulakan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita Ranchi 2023 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Jepun 3-0 pada Jumaat.

Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf, India itu, menyaksikan skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim ketinggalan satu gol pada suku pertama perlawanan apabila Rika Ogawa menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Jepun kembali menemukan rentak gol pada suku ketiga hasil jaringan padang Mai Toriyama pada minit ke-43, selepas menyaksikan kedua-dua pasukan ketandusan gol pada suku kedua.

Pukulan sudut penalti Shiho Kobayakawa yang disempurnakan dengan baik ketika perlawanan berbaki enam minit lagi, memaksa pasukan negara gigit jari dalam perlawanan pertama mereka.

Skuad negara akan berdepan tuan rumah esok diikuti Korea Selatan pada 30 Oktober, China (31 Oktober) sebelum melengkapkan format round robin menentang Thailand pada 2 November.

Empat pasukan teratas layak ke separuh akhir yang dijadualkan pada 4 Nov manakala final pada 5 November.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada ACT wanita edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun, menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan China 3-1. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!