Lima ditahan kes laporan palsu, jual bayi
KOTA BHARU - Lima individu termasuk dua pasangan suami isteri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung laporan palsu mengenai penemuan bayi berusia 14 hari.
Ketua Polis Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari yang berakhir Sabtu di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun kata beliau, permohonan melanjutkan tahanan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan.
Mohd Adli memberitahu, sebelum itu, polis Machang menerima laporan daripada pasangan suami isteri berusia 40 dan 43 tahun pada Selasa kira-kira jam 5.48 petang mengenai penemuan seorang bayi dalam sebuah beg.
Menurut beliau, pasangan itu memaklumkan dalam beg yang sama terdapat sehelai nota tulisan tangan tercatit pengakuan penyerahan anak secara sukarela tanpa nama penulis dan satu salinan borang kelahiran Hospital Sultanah Nur Zahirah yang tidak lengkap.
"Polis kemudian mengesan dan mengenal pasti ibu bapa kandung bayi berkenaan yang berusia 24 dan 26 tahun dan mengambil keterangan mereka.
"Situasi sebenar ialah bayi berkenaan diserahkan kepada pihak kedua untuk dijaga kerana malu dan takut diketahui keluarga kerana dilahirkan dalam tempoh sebulan selepas berkahwin," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Mohd Adli memberitahu, siasatan lanjut mendapati laporan awal pasangan suami isteri pertama adalah palsu dengan 'mencipta situasi' penemuan bayi berkenaan.
"Mereka sebenarnya mendapatkan bayi itu daripada pihak kedua dengan sejumlah bayaran dan semakan menunjukkan anak berkenaan dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu pada 5 Oktober lalu," katanya.
Jelas beliau, susulan itu polis menahan dua pasangan suami isteri terbabit dan seorang lelaki berusia 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah yang juga pihak kedua melibatkan penjualan bayi itu.
"Bagaimanapun, polis masih mengesan seorang lagi rakan lelaki itu membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!