Malaysia perlu bersatu bela Palestin, guna segala kapasiti yang ada - Ikram
SHAH ALAM - Masyarakat Malaysia perlu bersama dengan seluruh masyarakat dunia bersolidariti terhadap rakyat Palestin agar kekejaman rejim aparteid Israel dapat dinoktahkan, sekali gus tidak diulang mana-mana pihak.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, pada era digitalisasi kini, perang bukan sahaja di medan pertempuran alam nyata tetapi berevolusi ke alam siber.
"Gunakanlah segala saluran media yang ada secara kreatif untuk memerangi naratif palsu, namun berhati-hati dalam memilih kandungan. Pastikan ia mempunya kredibiliti dan sahih.
"Nyatakan bantahan melalui perhimpunan awam yang dianjurkan dan sampaikan mesej dengan terang dan jelas kepada komuniti antarabangsa. Suara rakyat Palestin telah cuba didiamkan.
"Menjadi tanggungjawab kita untuk bersuara dengan kuat dan lantang dalam menuntut keadilan dan kedamaian di Palestin tanpa mengenal lelah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu Badlishah berkata, rakyat Malaysia perlu mengutamakan perpaduan dengan mengetepikan perbezaan dan pertelingkahan yang kurang bermanfaat.
Ini kerana ujarnya, perpecahan tidak akan menguntungkan, malah melemahkan ikatan yang dipegang sedangkan persamaan dalam isu Palestin lebih besar nilainya.
"Bagi kita, tiada masa untuk menunggu lagi. Ini adalah seruan untuk bertindak kepada setiap rakyat Malaysia dengan segala kapasiti yang ada untuk mengupayakan usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman kezaliman rejim Zionis dan sekutunya.
"Jadilah sebahagian daripada solusi ke arah kebebasan dan keadilan di Palestin," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!