Young Tigers bermula langkah kiri di SOJC
HASRAT skuad remaja negara meraih tiga mata pertama musnah selepas tewas 2-3 kepada New Zealand pada aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023, di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Jumaat.
New Zealand bermula garang apabila Aldred Luke menjaringkan gol seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti.
Tersentak dengan gol itu, Young Tigers melancarkan serangan berjaya menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi kapten pasukan, Muhamad Faris Harizan hasil pukulan penalti strok.
Bagaimanapun Black Sticks kembali di depan menerusi pukulan sudut penalti Cosslett Scott pada minit ke-15.
Anak buah Muhamad Amin Rahim kembali mengasak New Zealand kembali menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Muhamad Faris minit ke-24.
Black Sticks kembali mengasak menyaksikan skuad asuhan Ford Aaron sekali lagi memimpin perlawanan menerusi gol padang Hickson James pada minit ke-33.
Lain-lain keputusan juara bertahan India diikat Pakistan 3-3, manakala Australia menewaskan Great Britain 3-0.
Pada Sabtu, Jerman dijadualkan bertemu Afrika Selatan, manakala Pakistan bertemu New Zealand, sementara Malaysia menentang India.
Kejohanan bawah 21 tahun edisi ke-11 itu bermula hari ini sehingga 4 November, disertai lapan negara Malaysia, Great Britain, India, Jerman, Australia, Afrika Selatan, New Zealand dan Pakistan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!