Anak Jokowi, sinetron dan politik
KEPUTUSAN Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia berhubung had umur calon presiden (pendekannya capres) dan wakil presiden (timbalan atau cawapres) mengocakkan Indonesia.
Mahkamah itu dalam sidang pada 16 Oktober baru lalu memutuskan batas usia capres dan cawapres tetap 40 tahun ‘kecuali sudah berpengalaman sebagai pejabat negara atau kepala daerah’.
Keputusan ini secara mudahnya memberikan peluang kepada sesiapa pun yang berusia di bawah 40 tahun menduduki kerusi tertinggi Republik Indonesia.
Seperti yang diduga, keputusan itu membangkitkan banyak reaksi, baik di kalangan orang politik, pemerhati dan pakar undang-undang serta perdebatan dalam media sosial.
Menurut laporan media, empat daripada sembilan orang hakim MK tidak setuju dengan keputusan itu.
Malah salah seorang yang mewakili kumpulan yang memberikan pandangan bertentangan (dissenting view), Arief Hidayat memilih untuk memakai baju hitam dalam satu acara rasmi di Jakarta pada 25 Oktober lalu.
“Saya sedang berkabung,” katanya.
Beliau menyebutkan bahawa ‘kekuasaan semakin terpusat dan dipegang oleh segelintir orang’.
Apakah keputusan MK itu bakal meletakkan Indonesia pada satu persimpangan baharu atau mungkin krisis perlembagaan?
Bagaikan sinetron di kaca TV Indonesia, politiknya sentiasa bergolak dengan drama serta intrig.
Tidak ada hari yang tidak berlalu dengan pelbagai adegan di layar politik Indonesia menjelang pemilihan presiden yang akan berlaku tahun hadapan.
Bagi banyak orang, apa yang paling ketara adalah keputusan itu membuka ruang kepada anak Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang berusia 36 tahun untuk diketengahkan sebagai cawapres di samping capres Prabowo Subianto.
Lebih kontroversi lagi adalah Ketua Mahkamah Konstitusi, Anwar Usman merupakan adik ipar Jokowi.
Maka itu kritikan terhadap keputusan itu melampaui isu pelanggaran keputusan Undang-Undang Dasar (UUD) 1945 yang mensyaratkan usia 40 tahun tetapi dilihat sebagai mengutamakan keluarga.
Ungkapan ‘Dinasti Jokowi’ mula dilemparkan oleh penentang keputusan ini.
Mereka mengingatkan rakyat bagaimana amalan mantan Presiden Suharto yang mengutamakan keluarga mengakibatkan banyak kerosakan pada Indonesia.
Seyogia diingat, Suharto banyak dipersalahkan kerana mengayakan anak-anaknya.
Dalam bidang politik, beliau mengangkat puterinya, Siti Hardiyanti Rukmana (Tutut) ke jawatan politik hanya setelah tiga dekad sebagai Presiden.
Tutut dilantik Menteri Sosial dalam Kabinet Pembangunan Ke-7 pada tahun 1998. Beliau menjawat jawatan itu sehingga kerajaan ayahnya tumbang.
Anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka adalah bintang baharu yang bergemerlapan dalam politik Indonesia.
Pada masa ini beliau baru dua tahun menjadi Walikota Surakarta.
Isu pengubahan usia ini telah ditentang oleh banyak pihak termasuk Partai Solidaritas Indonesia (PSI).
Bagaimanapun, MK menolak hujah yang diajukan oleh PSI bahawa batas usia di bawah 40 tahun bagi capres dan cawapres ‘bertentangan dengan moraliti, rasionalisasi dan boleh menimbulkan ketidakadilan’.
Dalam keputusannya juga, MK membayangkan tentang dinamisme baharu masyarakat dan realiti semasa.
Memang harus diakui bahawa banyak negara di dunia hari ini yang dipimpin oleh mereka yang berusia di bawah 40 tahun apabila mula memegang jawatan.
Dan banyak negara ini ditadbir dengan baik.
Maka, larangan bagi mereka yang berusia kurang 40 tahun untuk menjadi pemimpin tertinggi negara tentunya tidak realistik.
Peranan Jokowi
Jokowi akan menamatkan khidmatnya sebagai presiden tahun hadapan.
Perlembagaan Indonesia selepas Reformasi 1998 hanya membenarkan seseorang presiden memegang jawatan dua penggal.
Tidak dinafikan bahawa Jokowi merupakan presiden yang sangat popular di kalangan rakyat.
Dan populariti beliau ini dilihat sebagai modal untuk dimanfaatkan.
Selama ini Jokowi didukung oleh Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P).
Pemimpin tertingginya adalah Megawati Sukarnoputri yang merupakan presiden ketiga pasca Reformasi. Pengaruh Megawati bukan kecil.
Beliau dilihat sebagai Matriarch yang menentukan arah dan dinamisme partinya selain mampu mencorakkan hala tuju politik Indonesia.
PDI-P kali ini menamakan Ganjar Pranowo yang merupakan mantan Gabenor Jawa Tengah sebagai capres.
Beliau digandingkan dengan Mahfud MD, yang sekarang menjawat Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan.
Gabungan atau Koalisi Indonesia Maju 2024 menawarkan Prabowo Subianto sebagai capres.
Beliau pernah bertanding untuk jawatan presiden dua kali menentang Jokowi tetapi gagal.
Pada tahun 2019, Jokowi melantik beliau Menteri Pertahanan. Beliau juga adalah mantan Ketua Komando Pasukan Khas Indonesia (Kompassus) sewaktu era Suharto, dan pernah mengahwini anak perempuan presiden itu, Siti Hediyati Hariyadi (Titiek).
Seorang lagi calon yang akan bertanding dalam pemilihan presiden tahun 2024 ialah Anies Basdewan yang pernah menjadi Menteri Pendidikan dan Kebudayaan dan juga Gabenor Jakarta.
Beliau juga tokoh yang disegani sebagai ilmuan.
Beliau menunggangi Koalisi Perubahan 2024.
Di sisi beliau adalah Muhaimin Iskandar yang merupakan Wakil Ketua DPR dan pernah menjadi Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi.
Di manakah kedudukan Jokowi dalam hal ini?
Sepatutnya beliau mendukung Ganjar Pronowo.
Tetapi anaknya Gibran adalah gandingan Probowo daripada parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).
Sehingga ini, Jokowi masih belum mengumumkan sokongannya terhadap Ganjar.
Dalam konteks keputusan MK, beliau mengambil sikap menyerahkannya pada kebijaksanaan MK dan tidak mahu campur tangan.
Tetapi yang jelas, ada tanda-tanda kekecewaan pada Megawati yang selama ini banyak bertoleransi dengan Jokowi.
Sebagai ‘ibu’ sudah tentu beliau mengambil sikap penuh sabar dengan Jokowi.
Hamid Awaludin yang menulis untuk Kompas baru-baru ini memperingatkan kita siapa sebenarnya Megawati.
Tulis beliau Megawati ‘tidak menyalahgunakan kekuasaan untuk memilih demi kemenangan’. Beliau tidak senang dengan ‘pemimpin yang lain ucapan, lain kelakuan’.
Beliau menolak ‘pemimpin yang berpura-pura disiplin dan taat azas tetapi penuh intrik yang melecehkan hukum dan akal sihat’.
Apakah Megawati akan terluka sekiranya Jokowi secara terbuka menyokong kem Prabowo-Gibran?
Megawati dikatakan pernah mengorbankan calonnya untuk memberi peluang pada Gibran menjadi Walikota Surakarta, sama seperti Jokowi sebelum ini.
Malah, atas cadangan Yusuf Kalla yang menjadi timbalan presiden sebanyak dua kali, beliau sekali lagi mengorbankan calonnya demi Jokowi untuk menjadi Gabenor Jakarta. Almarhum suaminya Taufik Kiemas punya calon tersendiri ketika itu.
Sekali lagi Megawati berkorban demi membolehkan Jokowi menjadi presiden pada tahun 2014.
Tidak cukup dengan itu Megawati mendiam diri apabila menantu Jokowi, Bobby Nasution dijadikan Wakikota Medan.
Tentunya kader-kader PDI-P sekali lagi menjadi korban.
Menurut penulis itu lagi, “Megawati melepaskan segala ambisi dan hasrat diri, keluarga dan kader-kadernya yang lain untuk Jokowi.”
Apakah dengan pencalonan Gibran dan sokongan Jokowi kepada parti yang bukan PDI-P akan mencabar kesabaran Megawati kali ini?
Apakah langkah Jokowi itu ibarat melanggar garis merah terakhir yang tidak boleh dibenarkan lagi oleh Megawati?
*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau adalah presiden pertama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI). Beliau banyak mengikuti perkembangan politik di Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!