Mantapkan integriti hindari 'pembunuh senyap'
SHAH ALAM - Orang ramai disaran menerapkan nilai murni dan memantapkan kekuatan rohani diri melalui pelbagai cara termasuk dengan menghadiri program ceramah agama supaya gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan masyarakat dapat dibendung.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, melalui aktiviti kerohanian itu mampu melahirkan masyarakat yang berakhlak dan mempunyai etika untuk menolak sebarang aktiviti melibatkan amalan tersebut.
“Sebenarnya yang lebih utama ialah sikap dan integriti individu. Jika nilai moral seseorang itu tinggi, maka segala tarikan berbentuk rasuah boleh diketepikan.
“Namun jika sebaliknya, mereka akan sentiasa mencari peluang untuk melibatkan diri dalam gejala itu. Jadi usaha untuk memantapkan integriti perlu ditingkatkan dan latihan berterusan perlu diberikan kepada pelbagai pihak,” katanya baru-baru ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, amalan rasuah merupakan ‘pembunuh senyap’ bukan sahaja boleh merosakkan masyarakat, malah boleh membinasakan negara.
Tambah Zairudin, semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan bagi memastikan setiap kempen kesedaran dan literasi pendidikan antirasuah dapat diluaskan ke seluruh negara.
Jelasnya, ia penting bagi membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab dalam memerangi rasuah selain menyemai nilai integriti serta bebas daripada gejala tersebut dalam setiap lapisan masyarakat.
“Kerjasama strategik dan erat perlu diperluaskan antara pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan berkanun.
“Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ABIM dan Rasuah Busters juga boleh membantu pihak berkuasa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat,” ujarnya.
Selamatkan negara daripada musnah angkara rasuah
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zainal Adnan Abdul Halim berkata, integriti tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia mampu menyelamatkan negara daripada musnah angkara rasuah.
Menurutnya, rakyat akan mula sedar bahawa perbuatan keji itu boleh dicegah jika sifat tersebut diterapkan dalam diri masing-masing.
“Apabila setiap orang menerapkan nilai murni, jadi mereka akan sedaya upaya menghalang diri daripada terlibat dengan gejala ini.
“Walau sebesar mana jumlah yang ditawarkan, mereka dapat menepis dengan mudah agar tidak terjerumus melakukan jenayah,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, amalan rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.
Tambah Zainal, pelbagai inisiatif yang berterusan boleh diusahakan oleh kerajaan seperti menyebarkan risalah yang memfokuskan bahaya rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!