Zii Jia sudah kembali!

Zii Jia berjaya menampilkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini. Gambar kecil: Rizal. Foto Agensi
Zii Jia berjaya menampilkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini. Gambar kecil: Rizal. Foto Agensi
A
A
A

PRESTASI mengagumkan pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia di benua Eropah tercalar selepas dia tersingkir seawal pusingan kedua Terbuka Perancis 2023 pada Khamis.

Zii Jia yang ketika ini menghuni ranking ke-11 dunia tewas dalam pertarungan tiga set 21-17, 11-21, 12-21 kepada pemain China, Li Shi Feng di Arena Glaz, Rennes.

Penganalisis sukan, Rizal Hashim berkata, walaupun ditunjukkan jalan keluar lebih awal, Zii Jia sudah menemui semula keyakinan dan rentak sebenar permainannya.

Malah, beliau melihat kekalahan tersebut mungkin disebabkan atas faktor kepenatan selepas Zii Jia bersaing dalam empat kejohanan berturut-turut bermula Sukan Asia Hangzhou 2022 di China awal bulan ini.

“Pada dasarnya, Zii Jia sudah menemui semula prestasi terbaiknya seperti mana ketika dia menjuarai Seluruh England 2021 dan Kejohanan Asia 2022.

“Kebangkitan yang ditunjukkan Zii Jia sehingga mara ke suku akhir Sukan Asia 2022 sebelum disusuli gelaran juara pada Terbuka Artik di Finland dan final Terbuka Denmark minggu lalu.

“Saya percaya Zii Jia sudah menemui keyakinan diri tepat pada waktunya. Cuma kekalahan pada Terbuka Perancis seawal pusingan kedua memberi gambaran Zii Jia letih bersaing dalam empat kejohanan berturut-turut.

“Apa yang penting Zii Jia sudah menghapuskan tekanan dan persepsi bahawa dia kerap tewas di peringkat awal di pentas antarabangsa," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu hampir membuat keputusan untuk tidak beraksi pada Terbuka Perancis 2023 minggu ini susulan faktor keletihan.

Ia ditambah pula apabila Zii Jia hanya tiba di Perancis pada Selasa lalu - sehari sebelum perlawanan pusingan pertama berdepan juara Terbuka Denmark 2023, Weng Hong Yang dari China kerana transit selama 19 jam di Amsterdam.

Sebagai langkah seterusnya menuju pentas Olimpik Paris 2024, Rizal berkata, Zii Jia kini perlu menjadi pencabar utama dalam setiap kejohanan yang disertai selain kekal konsisten dengan rentak permainannya.

“Zii Jia perlu kekal fokus, pilih kejohanan untuk bantu menaikkan semula ranking. Lakukan yang terbaik untuk menang dan mendapatkan semula keyakinan diri, selain mental perlu lebih kuat,” jelasnya.

Pemain berusia 25 tahun itu muncul juara Terbuka Artik 2023 di Finland - gelaran pertamanya dalam tempoh 17 bulan selepas menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong 21-14, 21-15 di pentas final.

Zii Jia kekal konsisten mara ke pentas final Terbuka Denmark 2023, namun terpaksa akur tewas kepada Weng Hong Yang sebelum dia berjaya membalas dendam ke atas lawan sama pada pusingan pertama Terbuka Perancis 2023 pada Rabu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!