Hidap penyakit kritikal, anak cari adik-beradik bapa

Siti Sazila menunjukkan gambar ayahnya ketika masih sihat untuk dicam oleh mana-mana individu yang mengenali ayahnya.
Siti Sazila menunjukkan gambar ayahnya ketika masih sihat untuk dicam oleh mana-mana individu yang mengenali ayahnya.
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki dari Kampung Asahan di sini berharap dapat bertemu dengan adik-beradik kandung bapanya yang telah terputus hubungan sejak sekian lama.

Lelaki berkenaan Mohamad Saiful Shamsudin, 38, berkata, usaha mengesan adik-beradik bapanya Shamsudin Jusoh, 64 yang mesra dipanggil Pak Din telah dilakukan sebelum ini termasuklah hebahan melalui sosial media Facebook.

"Kami tidak sempat mengenali adik-beradik ayah berikutan ibu dan ayah bercerai ketika saya berusia empat tahun seterusnya mereka membuat haluan masing-masing.

"Bagaimanapun, kami bertemu semula dengan ayah pada tahun 2002 iaitu semasa ayah menjadi wali pernikahan kakak, Siti Sazila sebelum ayah menghilangkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya itu pada Jumaat.

Ujarnya, sebelum dia berkahwin pada tahun 2019, telah cuba mencari ayahnya itu di sebuah kedai roti canai Mubarak di Kuantan, namun dimaklumkan ayah sudah berhenti kerja dan berpindah ke Johor.

Mohamad Saiful (tengah) berharap dapat bertemu adik-beradik bapanya dalam masa terdekat.
Mohamad Saiful (tengah) berharap dapat bertemu adik-beradik bapanya dalam masa terdekat.

"Sudah lama saya cari ayah untuk tinggal bersama saya sehinggakan pada tahun lalu, saya berhenti dari tentera untuk fokus mencarinya.

"Alhamdulillah kami berjaya menemui ayah pada bulan lalu apabila sebuah hospital di Johor menghubungi kami bagi memaklumkan keadaan kesihatan ayah. Dia dimasukkan wad akibat sakit berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

"Ayah telah disahkan oleh doktor menghidap kanser paru-paru tahap empat dan kini berada di rumah saya di sini, namun ayah tidak mampu lagi untuk menelan makanan ataupun minuman selain memerlukan bantuan oksigen dan ubat tahan sakit," katanya.

Katanya, ada yang mengatakan bapanya mempunyai tiga orang adik-beradik dan berharap dapat menemui mereka dalam masa terdekat ini susulan tahap kesihatan bapanya semakin merosot sejak pulang dari hospital.

"Setidak-tidaknya adik-beradik ayah tahu keadaannya dan sempat berjumpa. Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keluarga ayah boleh menghubungi saya di talian 013-6176762," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!