Isu goyang gerudi: Penganjur mohon maaf, akui gagal kawal pengunjung

Tangkap layar aksi goyang gerudi ketika kumpulan muzik tempatan mengadakan persembahan di sebuah acara karnival di Simpang Renggam.
Tangkap layar aksi goyang gerudi ketika kumpulan muzik tempatan mengadakan persembahan di sebuah acara karnival di Simpang Renggam.
A
A
A

KLUANG - Penganjur Karnival Jelajah Makanan Johor yang diadakan di Dataran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Simpang Renggam memohon maaf berhubung insiden aksi goyang gerudi yang mencemari karnival tersebut.

Menerusi kenyataan di Facebook Jelajah Bazaar Lelong Johor, penganjur mengakui kesilapan dan kelemahan pihaknya yang gagal mengawal pengunjung pada malam kejadian.

"Selaku penganjur Jelajah Makan Johor yang bertempat di Dataran IKS Simpang Renggam, dengan ini memohon maaf kepada semua warga Simpang Renggam dan juga kepada pihak berkuasa tempatan terutamanya Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di atas kejadian yang viral (tular).

"Sesungguhnya kesilapan itu berlaku atas kelemahan kami sendiri yang gagal mengawal pengunjung yang datang untuk berhibur. Tiada niat lain daripada kami semasa menganjurkan program ini selain untuk memeriahkan program anjuran kami. Namun atas kelemahan, kami gagal mengawal tindak tanduk pengunjung yang telah mencemarkan nama baik MDSR," katanya.

Selain itu, penganjur juga akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian itu dan menghargai teguran diberikan, selain berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi.

Sebelum ini, media melaporkan penganjuran sebuah acara karnival di Simpang Renggam terpaksa dihentikan pihak berkuasa berikutan tular di media sosial aksi sekumpulan wanita menari goyang gerudi ketika kumpulan muzik tempatan membuat persembahan

Karnival selama 10 hari di Dataran IKS Simpang Renggam itu sepatutnya berakhir pada Ahad ini, namun dihentikan pihak berkuasa pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!