Pemandu kereta rentung, empat cedera nahas dua kenderaan
KLUANG - Seorang rentung manakala empat termasuk tiga warga Singapura cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 49.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini, awal pagi Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku pada jam 1.43 pagi melibatkan kereta Toyota Vios dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex.
"Hasil siasatan awal mendapati MPV berkenaan dari arah Batu Pahat menghala ke Bandar Kluang manakala kereta tersebut dari arah bertentangan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk laluan MPV lalu bertembung menyebabkan kereta berkenaan terbakar sehingga melanggar pokok di bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta rentung keseluruhan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu MPV berusia 55 tahun, cedera di kepala dan dada manakala pasangan suami isteri warga Singapura berusia 50 dan 47 tahun masing-masing cedera kaki kiri serta tulang rusuk.
"Anaknya pula yang berusia 11 tahun cedera di bibir, tangan dan kaki kiri. Ketiga-tiga beranak itu dirawat di Zon Kuning Hospital Besar Enche' Hajjah Khalsom di sini," katanya.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran memusnahkan lebih kurang 80 peratus keseluruhan kereta. Terdapat seorang mangsa tersepit di ruangan pemandu kenderaan yang terbakar.
"Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit namun disahkan sudah meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat pada jam 2.28 pagi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!