'Korban cuti hujung minggu demi Palestin'

Shahir (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya ketika ditemui di Stesen MRT Sungai Buloh bagi menyertai Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di perkarangan Masjid KLCC pada Sabtu.
Shahir (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya ketika ditemui di Stesen MRT Sungai Buloh bagi menyertai Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di perkarangan Masjid KLCC pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] "Demi Palestin kami sanggup korbankan cuti hujung minggu."

Demikian reaksi sekumpulan anak muda yang sanggup meluangkan masa bersama bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel menerusi Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di pekarangan Masjid KLCC di sini pada Sabtu.

Peserta, Shahir Abdullah,32, berkata, dia bersama empat lagi rakannya berpakat bersama-sama menggunakan kesempatan cuti hujung minggu untuk berhimpun.

"Saya ikuti perkembangan terhadap apa yang berlaku di Palestin ini hampir setiap hari, ada sahaja kisah yang dipaparkan mengenai kekejaman rejim Zionis ini yang membuatkan darah saya membuak-buak.

"Jadi bila dapat tahu adanya himpunan ini, memang tak fikir panjang, terus ajak rakan-rakan untuk pergi sekali," katanya kepada Sinar Harian di Stesen MRT Sungai Buloh di sini pada Sabtu.

Katanya, pengalaman kali ini ternyata berbeza apabila dia bersama rakannya menggunakan MRT untuk datang ke lokasi himpunan.

"Sebenarnya tak rancang pun nak naik MRT, tapi fikirkan mungkin dengan keadaan jalan raya yang sesak, jadi kami ambil keputusan untuk guna pengangkutan awam.

Artikel Berkaitan:

"Memang dalam fikiran kami, kami nak sampai dan sama-sama berhimpun nyatakan solidariti kami terhadap Palestin," katanya.

Ribuan peserta terdiri pelbagai peringkat umur berhimpun serta melaungkan slogan Hidup Palestin dan Hancur Israel menerusi Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Jalan Tun Razak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Himpunan yang dirancang bemula kira-kira jam 2 petang itu bagaimanapun sudah dihadiri orang ramai seawal jam 12 tengah hari.

Laungan takbir dan hancur Israel bergema dilaungkan para peserta yang berarak dari Masjid KLCC menuju ke Jalan Tun Razak dekat sini.

Turut kelihatan beberapa anggota polis turut sama melakukan kawalan keselamatan di sekitar lokasi himpunan.

Himpunan anjuran Pas bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu turut dihadiri beberapa pimpinan antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selain pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!