BINA2040 cadang laksanakan Dasar Identiti Nasional

Dari kiri: Tun Mahathir dan Zamani dalam Persidangan Tahunan Dewan Kepimpinan Nasional (Sidang) 2023
Dari kiri: Tun Mahathir dan Zamani dalam Persidangan Tahunan Dewan Kepimpinan Nasional (Sidang) 2023
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bercadang untuk melaksanakan Dasar Identiti Nasional (DIN) bagi membawa agenda bangsa Melayu dan Islam yang lebih unggul.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, bagi menjayakan hasrat tersebut, parti itu telah menerbitkan Buku Impian Nasional (BINA2040) Berjasa bagi mengetengahkan enam teras utama membina perpaduan yang utuh.

Menurutnya, dasar utama yang perlu dilakukan adalah mengangkat hak keistimewaan bangsa Melayu tanpa sebarang kompromi.

“Antara teras utama adalah perlembagaan dan perundangan,politik dan kepimpinan, ekonomi dan sara hidup, pendidikan dan modal insan termasuk sains, teknologi serta alam sekitar.

“DIN perlu dibangunkan secara bersepadu dengan mengangkat Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai identiti utama negara.

“Tiada kompromi daripada segi perundangan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan identiti nasional supaya pembangunan jati diri dapat diperkukuh bermula di peringkat akar umbi,” katanya dalam slot minda negarawan yang bertajuk ‘ Malaysia baharu impian bersama’ dalam Persidangan Tahunan Dewan Kepimpinan Nasional Berjasa (Sidang) 2023 bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, menurut Zamani, Berjasa bukan sekadar beretorik dalam memperjuangkan bangsa Melayu, sebaliknya akan membuktikan bahawa setiap yang dirancang akan dilaksanakan secara tersusun.

Zamani (kiri) bersama Tun Mahathir di Majlis Pelancaran Buku Impian Nasional (BINA2040) Berjasa di IDCC Shah Alam pada Sabtu.
Zamani (kiri) bersama Tun Mahathir di Majlis Pelancaran Buku Impian Nasional (BINA2040) Berjasa di IDCC Shah Alam pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, kerajaan hari ini dilihat tidak kompeten kerana gagal memacu pembangunan negara dan tiada tindakan proaktif dalam menangani isu nasional dalam tadbir urus negara.

“Berjasa akan bawa naratif Melayu dan buktikan melalui pelbagai program yang kita lakukan bersama cendekiawan negara dan juga badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan ada solusi untuk membangunkan Malaysia.

“Sebelum menjadi kerajaan juga kami sudah mula berbincang mengenai masalah tanah rizab Melayu, kepentingan orang Melayu, keamanan negara dan sumber nasional merupakan tumpuan utama kita,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agenda Melayu perlu diangkat bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik.

Katanya, Berjasa berperanan membawa hasrat tersebut supaya orang Melayu mampu mengukuhkan kedudukan politik dan ekonomi lebih cemerlang.

“Persidangan ini menunjukkan Berjasa turut memikirkan masa depan dan hala tuju negara dengan mengangkat perjuangan bangsa agar kita mampu menjadi lebih baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!