APG: Pencapaian kontinjen negara di Hangzhou membanggakan

Hannah Yeoh ketika sidang media pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di MAEPS, Serdang hari ini. Foto Bernama
Hannah Yeoh ketika sidang media pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di MAEPS, Serdang hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tetap berbangga dengan pencapaian keseluruhan Malaysia pada Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022 yang melabuhkan tirainya hari ini, walaupun beberapa nama besar terlepas peluang merangkul emas.

Hannah berkata, beliau mengakui beberapa atlet yang menjadi sandaran emas negara kecewa dengan kegagalan mereka di Hangzhou namun hakikatnya mereka telah mencuba sedaya upaya mengharumkan nama negara pada edisi keempat temasya sukan tersebut.

"Mereka sudah lepasi sasaran dibuat bersama Majlis Paralimpik Malaysia, jadi syabas kepada mereka.

"Kami juga akan kaji semua pencapaian atlet selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sini, hari ini.

Kontinjen negara menutup saingan di Hangzhou dengan mengumpul 39 pingat merangkumi tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 35 pingat secara keseluruhan ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun, rentak kecemerlangan kontinjen negara sedikit tercalar selepas dua juara Sukan Paralimpik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dari sukan olahraga serta jaguh badminton para, Cheah Liek Hou gagal menyumbang emas buat negara di Hangzhou.

Majlis penutup temasya APG 2022 akan berlangsung malam ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!