Warga emas Orang Asli hilang sejak Khamis
SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki warga emas dari masyarakat Orang Asli dilaporkan hilang dalam kejadian di Kampung Saseh, Pos Perwor dekat sini sejak Khamis.
Mangsa, Ali Pandak, 68, disedari hilang dari rumahnya sekitar jam 8.30 pagi dan pencarian awal dilakukan penduduk di kawasan sekitar berikutan mangsa tidak pernah keluar sendirian atas faktor kesihatan.
Usaha itu bagaimanapun gagal sebelum laporan polis dibuat pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima makluman daripada polis pada jam 2.34 petang.
"Seramai 20 anggota melibatkan bomba, polis dan penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan kebun getah berhampiran rumah mangsa pada Jumaat.
"Operasi kemudian diteruskan pagi ini dengan radius pencarian diperluaskan sehingga empat kilometer ke kawasan hutan berhampiran," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, operasi hari kedua itu masih belum menemukan sebarang petunjuk dan usaha mencari masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!