Cukai pusaka tidak praktikal, bebankan rakyat - Ka Siong
SHAH ALAM - Cadangan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mahu cukai pusaka dilaksanakan semula dilihat tidak praktikal dan membebankan rakyat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, harta pusaka merupakan peninggalan bernilai yang diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini kerana harta pusaka merupakan satu perkara yang telah diwariskan oleh nenek moyang kepada datuk kemudian ibu bapa dan seterusnya ke tangan kita.
“Kalau mereka yang mewarisi tanah pusaka dan dikenakan caj atau cukai pusaka tetapi tidak mampu untuk membayarnya, kemungkinan besar mereka akan menjual tanah atau rumah yang merupakan warisan keluarga itu,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat menyarankan kerajaan melaksanakan semula cukai pusaka ekoran boleh menjadi sumber hasil cukai negara.
Sementara itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berpandangan, pelaksanaan semula cukai barangan jualan (GST) lebih sesuai untuk menjana pendapatan negara.
Beliau menjelaskan, banyak implikasi yang boleh berlaku sekiranya dilaksanakan semula selepas ia telah dimansuhkan pada November 1991.
“Kalau masyarakat Cina, ibu bapa akan terus pindah milik kepada anak-anak ketika masih hidup tetapi apa akan terjadi sekiranya mereka meninggalkan kedua orang tua mereka begitu sahaja.
“Ada juga yang terpaksa membawa dan menjual semua harta yang mereka miliki untuk melabur di luar negara. Jadi, kita perlu lihat semula objektif cukai pusaka ini, bagi saya ia tidak wajar diperkenalkan semula,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!