Rakyat Palestin di Malaysia harap konflik di Gaza temui jalan penyelesaian
KUANTAN - Rakyat Palestin yang menetap di Malaysia masih berharap konflik berterusan di Gaza dapat menemui jalan penyelesaian.
Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Radwan Jamal Elatrash berkata, itu antara harapan beliau selepas hampir 29 tahun tidak kembali ke Jenin, sebuah wilayah di Tebing Barat, di Palestin.
"Saya masih mempunyai ahli keluarga di Jenin, mereka dalam keadaan selamat tetapi situasi di sana tidak stabil.
"Bila-bila masa sahaja pertempuran baru akan berlaku dan ini sangat merisaukan,” katanya ketika di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu dijemput menjadi ahli panel sempena pelancaran Tabung Pahang For Palestine yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy turut mengumumkan kerajaan Pahang menyumbang RM100,000 kepada tabung itu.
Dr Radwan mengikut perkembangan pergolakan yang berlaku di Palestin sejak 7 Oktober lalu dan menyifatkan krisis itu akan memberi kesan berpanjangan kepada konflik di Asia Barat.
Jelasnya, semua masalah tidak akan selesai selagi sekutu Israel melindungi jenayah perang yang dilakukan Zionis ke atas Palestin.
"Jadi, untuk krisis ini, kita hanya ada satu penyelesaian sahaja iaitu untuk mempertahankan rumah kami, negara kami sehingga kami mati.
"Kita tidak boleh diarahkan berpindah atau meninggalkan tempat kami oleh Amerika Syarikat atau yahudi seperti mengarahkan kami dari Gaza ke sini dan kita tetap akan bertahan sehingga mati," katanya.
Menjawab mengenai krisis yang tercetus sejak kira-kira tiga minggu lalu di Gaza, Dr Radwan berkata, rejim Zionis sedang melakukan pembunuhan secara seramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Saya cuma boleh gambarkan dengan satu perkataan saja - ‘genocide’ dan ia akan berterusan jika masyarakat dunia tidak bersatu hati mengutuk kekejaman dilakukan tentera Zionis,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi warga Palestin, Ahmad Radwan Jamal, 36, berkata, keluarganya di Tebing Barat dan semua kenalannya masih dalam keadaan selamat.
“Cuma keadaan di sana sangat tidak stabil, namun paling terjejas ketika ini adalah semenanjung Gaza, ada pertempuran berlaku di sana.
“Kalau nak dibandingkan situasi di Gaza 100 kali ganda lebih teruk dari Tebing Barat,” katanya.
Dia yang menyambung pengajian di sebuah Intitusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur mengakui tersentuh hati melihat sokongan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin
“Saya gembira apabila begitu ramai orang memberi sokongan kepada kami, saya harap semua negeri di Malaysia juga dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan kepada Palestin melalui tabung disediakan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!