APG: Muhamad Nurdin sumbang pingat terakhir kontinjen
KONTINJEN negara mengakhiri temasya Sukan Para Asia (APG) 2022 dengan menambah satu kilauan pingat gangsa menerusi atlet olahraga Muhamad Nurdin Ibrahim dalam acara 1500 meter (m) lelaki T20 (kecacatan fizikal) hari ini.
Atlet berusia 26 tahun itu merupakan atlet terakhir negara beraksi di APG, menceriakan kem Malaysia apabila menamatkan saingan pada kedudukan ketiga dengan catatan empat minit dan 19.95 saat (s) pada aksi berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong, sekali gus menyumbang pingat ke-39 kontinjen secara keseluruhan.
"Alhamdulillah dengan kejayaan pingat ini. Ini merupakan penampilan pertama saya di APG di sini dan tak sangka boleh dapat pingat.
"Terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa khususnya serta jurulatih yang banyak memberi sokongan dan semangat selama ini," katanya kepada Bernama.
Pingat emas dan perak masing-masing diraih wakil Jepun Kenta Okawachi (4:05.12s) dan Daisuke Nakagawa (4:06.35s).
Pingat gangsa Muhammad Nurdin menyaksikan kontinjen menutup saingan di Hangzhou dengan tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa.
Majlis penutup temasya APG 2022 akan berlangsung malam ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!