Bukan banjir biasa, JPS Perak diarah ambil tindakan segera

Saarani (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pusat Strok Hospital Pakar KPJ Ipoh pada Sabtu.
Saarani (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pusat Strok Hospital Pakar KPJ Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah diarah untuk mengambil tindakan segera menangani isu banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu sejak minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, banjir yang berlaku ketika ini bukan lagi disifatkan banjir kilat, sebaliknya air bertakung atau dipanggil banjir termenung.

"Apabila dah jadi banjir termenung, keadaan akan ambil masa yang agak lama (untuk paras air surut), jadi sekarang apa yang kita boleh lakukan adalah melihat bagaimana untuk mengalirkan air keluar daripada punca yang tidak menentu itu.

"JPS kena melihat bagaimana untuk menyediakan saluran air keluar daripada banjir tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Strok Hospital Pakar KPJ Ipoh dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

Saarani berkata, berdasarkan laporan diberikan, banjir berlaku termasuklah di daerah Hulu Perak disebabkan kegagalan sistem pengairan tidak dapat menampung jumlah air yang besar.

Katanya, keadaan itu menunjukkan banjir berlaku ketika ini bukan banjir biasa seperti terjadi sebelum ini yang disebabkan limpahan air dari Sungai Perak.

"Semalam saya ke Gerik dan dapati keadaan (paras) air Sungai Perak macam biasa sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Cuma ada air yang turun dari bukit begitu lebat dan kandungan air yang besar itu tidak dapat ditampung oleh perparitan sedia ada menyebabkan berlakunya banjir," katanya.

Pada Jumaat, seramai 263 mangsa banjir daripada 76 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Hilir Perak, Kerian dan Hulu Perak.

JPS melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong masih melepasi tahap bahaya apabila merekodkan ketinggian 3.74 meter berbanding paras normal iaitu kira-kira 2 meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang berada pada paras berjaga-jaga iaitu 13.17 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang di kebanyakan daerah iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk, Perak Tengah, Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Muallim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!