Allahyarham Siddiq Fadzil wajar diangkat pejuang kedamaian sejagat
MELAKA - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan tokoh ilmuan negara, Allahyarham Profesor Datuk Siddiq Fadzil diangkat sebagai pejuang kedamaian sejagat.
Naib presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin berkata, ini kerana pemikirannya yang digarap dalam bentuk penulisan buku sering menjadi rujukan pelbagai pihak, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.
Menurutnya, cadangan itu sejajar dengan wawasan dan pemikiran yang dicetuskan bekas Presiden ABIM yang ketiga itu ketika masih hidup.
Katanya, malah pemikiran beliau juga melangkaui batas sempadan dunia wajar dijadikan bahan diskusi serta kiriman pemimpin selain berpegang kepada gagasan kesederhanaan atau wasatiyyah.
"Banyak buku dan risalah tulisan beliau. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga antara individu yang sangat rapat dengannya.
"Sewaktu kehilangan beliau pada waktu itu, sebenarnya satu kehilangan besar kepada kepimpinan kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim di Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Yang Dipertua ABIM Melaka, Dr. Mohd Nurishaq Mohd Fauzi turut menyokong cadangan berkenaan dan menyifatkan Allahyarham memiliki pemikiran luar biasa menerusi gagasannya terhadap pembentukan masyarakat Madani.
"Antara nilai-nilai Madani yang ditekankan adalah tentang keyakinan, hormat, ehsan, kemampanan, dan juga daya cipta.
"Kita harap nilai-nilai Madani ini dapat diserap dengan baik dalam kalangan anak muda dengan pemikiran Allahyarham Ustaz Sidik Fadzil," katanya.
Seramai 300 peserta menyertai seminar itu yang bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda terhadap cetusan pemikiran Allahyarham Siddiq.
Profesor Siddiq meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 pada usia 74 tahun.
Sepanjang hidupnya beliau turut pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Presiden Wadah Kecergasan Umat Islam (WADAH) pada 2005.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!