Harap Mat Sabu terus kekal presiden parti - Azizul Shah
TEMERLOH - Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Temerloh, Azizul Shah Mohd Noor berharap setiap ahli parti itu dapat terus menyokong Mohamad Sabu sebagai presiden sepenggal lagi.
Menurutnya, peranan beliau masih diperlukan parti sebelum peralihan kepada pimpinan baharu yang pasti akan berlaku bila tiba masanya.
“Pemilihan dan pertandingan dalam parti adalah proses matang dan demokrasi. Saya yakin ahli parti dan perwakilan dapat menilai dengan bijaksana.
"Tapi biarlah Mat Sabu kekal bagi menghabiskan penggal terakhirnya sebagai presiden,” katanya pada Sabtu.
Amanah bakal mengadakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2023-2026, bersekali dengan penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Lembah Klang pada Disember ini.
Mengulas lanjut, Azizul Shah menyifatkan peranan Mohamad Sabu sebagai presiden parti itu amat penting dalam memelihara dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, ia berikutan pengalaman beliau sebagai 'orang lama' dalam politik yang telah melalui pelbagai cabaran sehingga berjaya menubuhkan Amanah dan meletakkan parti itu kekal utuh bersama kerajaan sedia ada.
"Peranan Mat Sabu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak di dalam parti.
"Kesungguhan dan kesetiaan beliau terus kekal setia bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti sejak zaman reformasi lagi," katanya.
Dalam pada itu, Azizul Shah berkata, situasi ketika Pakatan Harapan (PH) melalui saat getir apabila sekumpulan pengkhianat bersama dalam 'Langkah Sheraton' antara bukti jelas sokongan presiden parti tersebut.
"Namun barisan kepimpinan parti yang diketuai Mat Sabu tetap setia dan bekerja keras mengekalkan perpaduan dalam PH.
"Satu ketika dulu, Mat Sabu lantang melawan UMNO, namun apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, beliau berlapang dada dan menerimanya demi rakyat serta masa depan negara.
"Beliau (Mat Sabu) sentiasa berkerja keras membantu PMX mengukuhkan kerajaan perpaduan dan memperkukuhkan parti.
"Kini hubungan Parti Amanah Negara bersama UMNO semakin akrab bersama parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!