Kenapa gunakan buku teks Sepanyol?
SHAH ALAM - Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Harun mempersoalkan penggunaan buku teks bahasa Inggeris dari Sepanyol untuk murid Tahun 1.
Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi Malaysia mempunyai asas pendidikan tersendiri.
"Misalnya, saya ada buku teks bahasa Inggeris diambil daripada Sepanyol. Kenapa digunakan untuk (murid) sekolah kebangsaan Tahun 1? Cuba buka muka surat lima ke enam, murid boleh buat ke tak boleh buat? Jadi kalau murid tak boleh buat, kenapa kita ambil?
"Kita ini terburu-buru hendak buat (ikut) antarabangsa buat apa? Padahal kita nak ukur (pendidikan) pada anak-anak kita juga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Wacana Sinar Harian ke-84 bertajuk Pendidikan Rendah: Apa yang Masih Kurang? anjuran bersama Majlis Profesor Negara di Dewan Karangkraf di sini, hari ini.
Ishak berkata, negara seharusnya membina modul kurikulum sendiri mengikut konteks dan kepelbagaian murid, bukan mengambil sepenuhnya acuan dari negara luar.
Katanya, ia dilihat lebih sesuai dalam mengukur sistem pendidikan negara termasuk memperbaiki dengan cara tersendiri dengan mengambil kira murid dalam negara ini.
"Ia sebab kepeluan kita, konteks murid kita dan kepelbagaian pun melibatkan murid kita, bukan daripada luar negara.
"Tapi kita belajar sikit dari luar, namun bukan ambil semua acuan di sini. Saya lebih suka kepada keyakinan kita membina kurikulum kita sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!