Tiada subahat, Sinar Harian kekal beri laporan seimbang
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Pihak Sinar Harian merujuk kepada tanggapan yang berlegar di media sosial susulan pertuduhan di Mahkamah ke atas Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang turut menyatakan Sinar Karangkraf sebagai penerima wang sebanyak RM38,160.
Sinar Harian menegaskan bahawa setiap andaian dan fitnah yang sengaja disebarkan adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, transaksi yang terlibat adalah mengikut tatacara dan prosedur pembelian ruang iklan di media serta memenuhi peruntukan undang-undang. Proses pembelian ruangan iklan di media terutamanya ketika pilihanraya oleh parti-parti politik adalah kelaziman di dalam industri ini. Amaun yang dibeli untuk kempen semasa PRU 15 dan PRN baru-baru ini oleh parti-parti politik lain juga adalah jauh lebih tinggi nilainya.
Sinar Harian bermula pada 31 Julai 2006 mengamalkan dasar terbuka dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutamanya parti dan pimpinan politik. Polisi Telus dan Tulus yang mendasari etika editorial kami sekian lama adalah kesungguhan kami dalam menjalankankan tanggungjawab menyampaikan maklumat yang seimbang dan adil kepada rakyat Malaysia. Justeru Sinar Harian percaya bahawa ia tidak wajar dikongkong apatah lagi dibeli untuk kepentingan politik tertentu.
Sinar Harian mengalu-alukan para pembaca dan rakyat Malaysia untuk terus menyatakan komen, pandangan dan teguran yang konstruktif serta berani melakukan semak imbang yang adil, sekalipun berbeza fahaman dan latar belakang.
Dalam pada masa yang sama kami berharap agar semua pihak supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengemukakan kenyataan yang boleh menyebabkan ‘sub-judice’ terhadap sebarang proses mahkamah yang sedang berlangsung. Manakala sebarang kenyataan berunsur fitnah atau berniat jahat yang boleh memusnahkan reputasi dan kredibiliti, Sinar Harian akan turut membuka ruang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak terbabit.
Akhirnya, kami di Sinar Harian akan terus komited terhadap misi dan nilai etika kewartawanan kami dalam mempertahankan integriti dan akauntabiliti atas dasar amanah dan kepercayaan rakyat Malaysia khususnya kepada pembaca Sinar Harian untuk terus menyampaikan kebenaran.
Sekian. Terima kasih.
Pengurusan SINAR HARIAN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!