Layak Olimpik bukan tiket diserap dalam RTG

Hannah - Foto Bernama
Hannah - Foto Bernama
A
A
A

ATLET Malaysia yang sudah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 belum boleh menarik nafas lega kerana keistimewaan itu bukan tiket buat mereka untuk diserap ke dalam program Road To Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, RTG adalah inisiatif tambahan buat atlet berpotensi membutirkan pingat emas untuk negara di Olimpik, bukan mereka yang hanya layak ke temasya terbesar dunia itu.

Justeru beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa RTG menambah, satu perbincangan akan diadakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Selasa bagi menentukan sama ada terdapat tambahan atlet atau sebaliknya dalam program itu.

“Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat minggu depan dan senarai atlet akan dibincangkan. Kena ingat RTG adalah 'topup service' kepada atlet berpeluang untuk menang emas dan bukannya layak ke Olimpik.

“Atlet layak ke Olimpik sudah ada dalam program podium. Pelbagai kemungkinan ada...jadi kita nantikan mesyuarat jawatankuasa RTG minggu depan (Selasa),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan ke 18 di MAEPS Serdang pada Sabtu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) awal minggu ini mengesahkan penembak negara Johnathan Wong menjadi atlet ketiga Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Sebelum ini Bertrand Rhodict Lises daripada sukan terjun dan Nur Shazrin Latif daripada sukan pelayaran sudah meraih tiket ke temasya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hannah berkata, perbincangan pada mesyuarat RTG akan turut menyentuh mengenai hala tuju skuad skuasy selepas sukan tersebut bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

“Kita akan bincang juga mengenai atlet sukan ini selepas skuasy disenaraikan dalam temasya Olimpik 2028 di Los Angeles.

“Jika diikutkan, skuasy sememangnya ada dalam program podium dan perbincangan sudah dilakukan mengenai perkara itu,” katanya.

Projek RTG diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada April lepas dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Sebelum ini, KBS menetapkan dua kriteria utama bagi atlet tersenarai dalam RTG yang berpotensi menyumbang emas pertama negara di Olimpik adalah pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!