Tiga lagi hospital swasta dibina di Perak
IPOH - Perak menerima tiga lagi hospital swasta baharu yang dibangunkan sebagai usaha menambah lebih banyak fasiliti kesihatan di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan itu membabitkan Pusat Perubatan Sunway di Tambun dan Quill Medical Centre di Jalan Sultan Nazrin Shah yang sedang dalam pembinaan serta Hospital Seri Botani yang baharu saja memulakan operasi Mac lalu.
Menurutnya, pertambahan jumlah hospital swasta yang menawarkan kepakaran dalam beberapa bidang khusus itu adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai hab pelancongan kesihatan.
"Perak sudah berada di landasan yang betul berikutan kesungguhan dan keupayaan yang ditawarkan hospital-hospital swasta di negeri ini.
"Di Bandaraya Ipoh ini sahaja, terdapat tujuh hospital swasta yang beroperasi.
"Insya-ALLAH, kita menjangkakan pertambahan tiga lagi hospital swasta ini siap dibina dan dapat beroperasi dalam masa terdekat," katanya selepas merasmikan Pusat Strok Hospital Pakar KPJ Ipoh dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.
Sementara itu, Saarani menghargai inisiatif Hospital Pakar KPJ Ipoh yang menjadi hospital swasta pertama di negeri ini mewujudkan Pusat Strok sendiri.
Katanya, pusat berkenaan bukan sahaja dibarisi ramai pakar perubatan berpengalaman dan mahir dalam bidang pengurusan pesakit, malah menyediakan peralatan serba lengkap dan berupaya membantu pesakit-pesakit strok mendapatkan rawatan dengan lebih spesifik dan mendalam.
"Kerajaan negeri juga sedang mengikut secara rapat perkembangan pembangunan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang sedang dibangunkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Meru Raya.
"Pusat ini juga merupakan pusat sehenti bagi rawatan pemulihan strok yang bukan sahaja akan memberikan rawatan kepada pesakit strok di Perak malah dari seluruh Malaysia," katanya.
Pada majlis itu, Saarani turut dibawa melihat mesin pemecut linear model Elekta Versa HD yang disediakan di Hospital Pakar KPJ Ipoh yang dikatakan mampu mempercepatkan proses rawatan enam kali lebih pantas bagi merawat sel-sel kanser.
Dengan keupayaan mesin yang ditawarkan Hospital Pakar KPJ Ipoh itu, pesakit pesakit yang telah dan sedang mendapatkan rawatan di luar kawasan Perak seperti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tidak perlu lagi melakukan perjalanan jauh, sebaliknya mampu menjimatkan kos rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!