Isu Palestin: Kerajaan jangan gentar berdepan ugutan
KUALA LUMPUR - "Jangan gentar dengan mana-mana ugutan, rakyat tetap bersama dalam isu Palestin."
Demikian tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyatakan bahawa setiap lapisan masyarakat juga perlu bersama dalam menentang kezaliman Israel terhadap Palestin.
Beliau berkata, kerajaan juga harus selari dalam mengutarakan pendirian berkaitan kekejaman rejim Zionis.
"Saya minta kepada kerajaan jangan sesekali takut dengan mana-mana ugutan berkaitan isu Palestin ini.
"Rakyat selari dan sentiasa bersama dalam perjuangan Palestin, kita bersama menentang sebarang kezaliman yang berlaku," katanya ketika Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Jalan Tun Razak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.
Menurutnya, pendirian sebenar Amerika Syarikat juga dilihat tidak konsisten selain berat sebelah melibatkan isu Palestin.
"Amerika Syarikat memperlihatkan kepada kita wajah sebenar mereka yang bersifat hipokrit, selain tidak adil bila mana melibatkan Palestin yang dirobek setiap hari.
"Ketidakadilan dan kezaliman ini yang kita tentang sehabisnya, kita tidak akan gentar sama sekali terhadap sebarang provokasi berkaitan isu Palestin ini," ujarnya.
Laungan takbir serta Hancur Israel antara ungkapan bergema sekitar perkarangan Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Jalan Tun Razak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat.
Himpunan yang awalnya berkumpul di sekitar perkarangan Masjid KLCC di sini kemudiannya bergerak sekitar jam 2 petang ke lokasi seterusnya di sekitar Jalan Tun Razak.
Keadaan cuaca yang mendung disusuli hujan renyai bagaimanapun tidak mematahkan semangat ribuan peserta untuk bersama menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!