Kerajaan perlu berpendirian tegas soal Palestin
KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak agar segera menyatakan pendirian tegas berhubung serangan serta kekejaman Israel terhadap Palestin.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib berkata, pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar satu usul supaya mendesak Palestin dibebaskan perlu dibahaskan dalam Dewan Rakyat adalah perkara yang tepat.
"Kita akan usulkan secepat mungkin. Isnin ini, kerajaan perlu lebih bertegas menyatakan pendirian mahu Israel keluar dari Palestin,
"Kami berpendirian bahawa usul ini perlu dibahaskan dalam Dewan Rakyat dan ia diterima sebulat suara bagi mengutuk kekejaman Israel," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Jalan Tun Razak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat di sini pada Sabtu.
Katanya, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat dalam masa terdekat.
"Satu memorandum kita akan serahkan sebagai tindakan atas apa kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin.
"Ia juga sebagai mesej untuk sokongan ahli politik Perikatan Nasional terhadap isu Palestin ini," katanya.
Mengulas berkaitan himpunan ini, Afnan berkata, ia sebagai salah satu mesej jelas dalam mendesak rejim Zionis itu menghentikan tindakan zalim terhadap rakyat Palestin.
"Himpunan kali kedua ini dibuat setelah rejim Zionis semakin ganas dengan mengebom hospital dan membunuh orang tidak bersalah dan kita berikan mesej ini kepada mereka supaya mereka dapat fahami bahasa kita.
"Kita mahu Palestin itu dibebaskan dan diberikan hak. Israel perlu keluar dari Palestin secara terhormat, kalau tidak kita tak tahu apa akan berlaku," katanya.
Tegas beliau, pendirian Ahli Parlimen Pas dan Perikatan Nasional (PN) amat jelas menyokong Palestin yang berhak mendapat hak kemerdekaan.
"Kita sebut secara aman, bersuara secara aman supaya mereka memahami bahasa kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!