65 individu ditahan di dua premis hiburan di Kuantan

Wan Zahidi (tengah) menunjukkan kain selempang dan beberapa barang kes yang dirampas dalam Operasi Pusat Hiburan dan Operasi Noda, awal pagi Sabtu.
Wan Zahidi (tengah) menunjukkan kain selempang dan beberapa barang kes yang dirampas dalam Operasi Pusat Hiburan dan Operasi Noda, awal pagi Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 65 individu terdiri daripada pekerja warga asing dan pelanggan ditahan di dua premis hiburan di kawasan pusat perniagaan Sri Dagangan, Jalan Gambut di sini, menerusi serbuan Operasi Pusat Hiburan dan Operasi Noda yang bermula jam 11 malam Jumaat dan berakhir awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, daripada jumlah itu, 16 individu yang ditahan merupakan warga tempatan berumur 21 hingga 44 tahun termasuk empat wanita.

"Tangkapan turut membabitkan 10 lelaki warga asing dari Bangladesh, manakala 39 wanita masing-masing dari China, Thailand dan Vietnam. Kesemua mereka ini berusia antara 21 hingga 49 tahun.

"Kita merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kain selempang, peralatan audio, dokumen berkaitan perniagaan dan wang tunai RM8,740," katanya dalam satu sidang akhbar berkait dengan Operasi Khas Pusat Hiburan di Dewan Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada Sabtu.

Wan Zahari menunjukkan gambar individu ditahan di dua premis hiburan di kawasan pusat perniagaan Sri Dagangan, Jalan Gambut dalam Operasi Pusat Hiburan dan Operasi Noda, awal pagi Sabtu
Wan Zahari menunjukkan gambar individu ditahan di dua premis hiburan di kawasan pusat perniagaan Sri Dagangan, Jalan Gambut dalam Operasi Pusat Hiburan dan Operasi Noda, awal pagi Sabtu

Beliau berkata, hasil daripada ujian saringan awal, sembilan warga tempatan dan seorang warga asing didapati positif dadah jenis ketamin.

"Ekoran daripada serbuan itu juga, kita telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dikehendaki bersabit kesalahan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak," jelasnya.

Wan Zahari berkata, premis hiburan berkonsepkan KTV dan 'open pub' itu dipercayai menawarkan khidmat pelayan wanita melibatkan warga asing.

Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana penyalahgunaan pas lawatan sosial serta Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja tanpa permit.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan turut dijalankan di bawah Per. 39B Peraturan Imigresen kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

“Kesemua individu akan direman dan proses penahanan tersebut masih dijalankan," katanya.

Wan Zahari berkata, pihak polis juga sedang memohon bagi pembatalan lesen di kedua-dua premis berkenaan daripada pihak berkuasa tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!