Beri sokongan padu program Minggu Solidariti Palestin - Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu memberi sokongan padu kepada program Minggu Solidariti Palestin yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah-sekolah bermula Ahad hingga Jumaat ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, arahan dan pekeliling kementerian itu sangat terang dan jelas supaya generasi kini tidak buta sejarah seperti sebahagian ahli politik yang menentang program berkenaan.

“Kepada mereka yang jahil, hentikan retorik memandang sebelah mata kononnya serangan pejuang kebebasan Hamas ke atas Israel adalah tindakan keganasan tetapi buta sejarah bahawa Palestin dijajah dan dijarah sejak 70 tahun lalu.

“Kita mahukan kesedaran kemuliaan atau karamatul insan melalui prinsip hormat dan ihsan dalam Madani ini dihayati.

“Pihak sekolah perlu ambil kesempatan ini tanpa menggunakan kaedah lain kecuali program kesedaran, solat hajat, kisah penderitaan Palestin dan keganasan Zionis,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan mendidik murid tentang nilai kemanusiaan yang merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan termasuk keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Menurut kenyataan itu, program tersebut adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik kerana ia berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan.

Tambah Mujahid, konflik Palestin-Israel bukan bermula daripada serangan Hamas terhadap Israel pada awal Oktober 2023 tetapi sejak Mei 1947 dengan penubuhan Israel diikuti dengan Hari Nakbah yang menyaksikan pengusiran dan penyembelihan penduduk asal Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Sejak itu, rakyat Palestin menjadi mangsa penjajahan Israel yang meneruskan penghapusan etnik berkenaan melalui rampasan tanah ladang, rumah kediaman dan pembinaan penempatan haram Yahudi.

“Gaza menjadi penjara terbesar dengan penempatan 2.2 juta penduduk dan pelarian yang diharamkan mendapat kemudahan asas seperti air serta elektrik sejak berpuluh tahun.

“Solidariti kepada Palestin adalah isu kemanusiaan yang merentasi kaum dan agama,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!