'Lapor SPRM jika ada kecurangan projek baik pulih tandas sekolah' - Fadhlina
NIBONG TEBAL - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta pihak berkepentingan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika meragui ketelusan kontraktor dilantik bagi kerja membaik pulih tandas sekolah.
Mengulas mengenai projek baik pulih tandas di sebuah sekolah yang didakwa tidak setimpal dengan kos dikeluarkan, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa membuat pemantauan terhadap kerja dilakukan kontraktor.
Katanya, setakat ini, perkembangan projek terbabit amat positif.
"Kita buat pemantauan, tapi kalau ada sebarang kecurangan... laporkan kepada SPRM supaya kecurangan ini dapat kita tangani di peringkat pihak berkuasa.
"Buat masa ini, perkembangan (projek) sangat baik dan kita akan perluaskan penyelenggaraan ini ke SBK (Sekolah Bantuan Kerajaan)... jadi berfasa... kita akan buat secara fasa dan mengambil kira isu-isu yang berlaku sebab kita buat serentak," katanya.
Jelasnya, kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah ketika ini dianggarkan siap sekitar 80 peratus dan akan diperluaskan di semua sekolah mengikut fasa yang akan ditetapkan kelak.
Fadhlina berkata demikian merasmikan Taman Angkat Amanita Taman Pekaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, yang turut dihadiri Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan KPM mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara bagi projek penyelenggaraan tandas. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!