Amanah masih perlukan Mat Sabu
TEMERLOH - Peranan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) amat penting bagi memelihara dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Amanah Temerloh, Azizul Shah Mohd Noor berkata, pengalaman Mohamad Sabu sebagai 'orang lama' dalam politik yang melalui pelbagai cabaran sehingga berjaya menubuhkan Amanah dan meletakkan parti itu kekal utuh bersama kerajaan sedia ada.
“Peranan Mat Sabu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak di dalam parti.
“Kesungguhan dan kesetiaan beliau terus kekal setia bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti sejak zaman reformasi lagi,” katanya.
Beliau berkata, situasi ketika Pakatan Harapan (PH) melalui saat getir apabila sekumpulan pengkhianat bersama dalam 'Langkah Sheraton' antara bukti jelas sokongan Presiden Amanah.
”Barisan kepimpinan parti diketuai Mat Sabu tetap setia dan bekerja keras mengekalkan perpaduan dalam PH.
“Satu ketika dulu, Mat Sabu lantang melawan UMNO, namun apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, beliau berlapang dada dan menerimanya demi rakyat serta masa depan negara.
“Beliau (Mat Sabu) sentiasa bekerja keras membantu PMX (Anwar Ibrahim) mengukuhkan kerajaan perpaduan dan parti.
“Kini hubungan Amanah bersama UMNO dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan semakin akrab,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas desas-desus tersebar mengatakan ada usaha pihak tertentu cuba menukar presiden ketika pemilihan parti yang akan berlangsung pada Disember depan, Azizul yakin ahli parti dan perwakilan dapat menilai dengan bijaksana.
Jelasnya, pemilihan dan pertandingan dalam parti adalah proses matang dan demokrasi.
“Tapi biarlah Mat Sabu kekal dan menghabiskan penggal terakhirnya sebagai presiden.
“Peranannya masih diperlukan parti sebelum peralihan kepada pimpinan baru yang pasti akan berlaku bila tiba masanya. Ibarat kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berserak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!