[VIDEO] Bekas supervisor kilang kini bergelar penternak berjaya

A
A
A

KANGAR - Seorang wanita yang juga bekas supervisor kilang tidak menyesal meninggalkan pekerjaan lamanya dan beralih ke dunia penternakan kira- kira 15 tahun lalu.

Che Amah Che Mid, 54, berkata, jika dia tahu menjadi penternak memberi pulangan lebih lumayan, dia mungkin tidak akan bekerja makan gaji sejak dari usia muda.

Che Amah bermula sebagai penternak dengan hanya lima ekor lembu pada tahun 2008.
Che Amah bermula sebagai penternak dengan hanya lima ekor lembu pada tahun 2008.

Menurutnya, gaji pekerjaannya yang dahulu bersamaan dengan seminggu gajinya apabila menjadi penternak.

"Saya bekerja selama 15 tahun, tapi gaji tetap sama, kalau boleh ulang masa, lebih baik saya jadi penternak sejak dari mula," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kubang Batang pada Sabtu.

Che Amah menerima Anugerah Model Pekebun Kecil RISDA negeri Perlis daripada Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Ruzaini Rais pada Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) Peringkat RISDA negeri Perlis, Khamis lalu.
Che Amah menerima Anugerah Model Pekebun Kecil RISDA negeri Perlis daripada Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Ruzaini Rais pada Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) Peringkat RISDA negeri Perlis, Khamis lalu.

Berbalik kepada kisah penternakannya, Che Amah berkata, pada mulanya dia menternak lima ekor lembu pada tahun 2008 sebelum berkembang menjadi 50 ekor.

"Setelah beberapa tahun menternak lembu, pada tahun 2015, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menawarkan projek ternakan kambing kepada saya.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu saya sudah ada kira-kira empat ekor kambing dalam jagaan. Kemudian RISDA bagi pula lapan ekor, iaitu bantuan penternakan bernilai RM10,000 dan peruntukan baiki kandang RM10,000," katanya yang turut mengusahakan tanaman getah.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, selepas beberapa tahun menternak kedua-dua jenis haiwan terbabit, dia sekali lagi ditawarkan projek agro makanan ayam piru oleh RISDA.

"RISDA kata mereka tengok saya jaga haiwan ternakan elok dan ada perkembangan, daripada satu kandang kambing menjadi lima kandang.

"Jadi mereka tawarkan pula projek ayam piru pada tahun 2021. Pada masa itu pandemik Covid-19, nak jual lembu dan kambing pun susah, jadi saya terima tawaran itu kerana yakin sekurang-kurangnya orang ramai mampu untuk membeli ayam kerana harga tidak semahal yang lain," ujarnya.

Che Amah menunjukkan anak ayam yang baru menetas di ladang ternakannya di Kampung Kubang Batang pada Sabtu.
Che Amah menunjukkan anak ayam yang baru menetas di ladang ternakannya di Kampung Kubang Batang pada Sabtu.

Justeru, sebagai orang lama dalam bidang penternakan, Che Amah menasihati golongan muda agar tidak takut menceburi bidang penternakan

"Memang kita ada pekerjaan makan gaji, tapi pada masa yang sama buat juga penternakan secara sampingan.

"Insya-ALLAH lama-lama saya yakin mereka akan berhenti kerja dan fokus kepada menternak, rezeki itu ada jangan risau," katanya.

Tambah penerima Anugerah Model Pekebun Kecil RISDA negeri Perlis itu, banyak peluang dan bantuan disediakan oleh agensi-agensi terlibat seperti RISDA untuk membantu golongan muda yang berminat.

"Banyak peluang ada depan mata, kita yang kena cepat rebut, kalau kita pun sambil lewa macam mana nak berjaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!