Tiga wanita jadi mangsa tipu
KUANTAN - Tiga wanita termasuk seorang penjawat awam membuat laporan polis semalam mendakwa menjadi mangsa tipu sindiket penipuan sehingga kerugian dengan jumlah keseluruhan lebih RM22,000.
Mangsa yang berusia 26 hingga 41 tahun itu diperdaya dalam tiga kes berasingan yang dilaporkan di daerah Temerloh dan Kuantan semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pertama melibatkan seorang penjawat awam di sini yang kerugian RM6,300 selepas diperdaya dua individu menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis.
Menurutnya, mangsa dijerat dengan helah tunggakan pinjaman bank sehingga mendorongnya membuat bayaran dalam jumlah dinyatakan bagi mengelak akaun bank dibekukan.
"Mangsa kedua mengalami kerugian RM6,560 apabila terpedaya dengan iklan tawaran pinjaman peribadi tidak wujud yang ditawarkan seorang lelaki melalui panggilan telefon.
"Dalam kes ini, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu menyerahkan beberapa dokumen termasuk salinan kad pengenalan dan slip gaji bagi tujuan semakan kelayakan untuk pinjaman berjumlah RM5,000 sebelum diminta membuat bayaran proses.
"Mangsa membuat bayaran berjumlah RM6,560 dan menyedari jumlah itu melebihi jumlah pinjaman yang dipohon sebelum menyedari dia telah ditipu,"katanya.
Mohd Wazir berkata, bagi kes melibatkan seorang pekerja sebuah syarikat swasta, wanita itu kerugian hampir RM10,000 selepas wang dalam akaun banknya hilang gara-gara menyerahkan maklumat perbankan internetnya kepada seorang ' pegawai polis' dari Bukit Aman.
"Mangsa diperangkap dengan helah namanya disalahguna pihak tertentu untuk memohon kad kredit dari sebuah cawangan bank di Puchong dan dikesan berlaku pengeluaran wang menggunakan kad itu berjumlah lebih RM8,000.
"Mangsa berurusan dengan tiga individu menyamar sebagai pegawai bank, pegawai Bank Negara dan pegawai polis sebelum diminta menyerahkan maklumat banknya bagi tujuan siasatan dan mengelak namanya disenaraihitamkan," katanya.
Beliau berkata, menyedari ditipu, ketiga-tiga mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis kini mengesan lima individu yang dikenalpasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam tiga kes penipuan ini bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!