Alton puji semangat juang skuad KUFC
PENGENDALI Kelantan United Football Club (KUFC), Alton Dos Santos Silva memuji semangat juang pemainnya yang bertungkus-lumus menggagalkan kemaraan berterusan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super pada malam Sabtu.
Beliau berkata, pemainnya berjaya mempamerkan aksi membanggakan untuk menyekat JDT yang sememangnya diakui pasukan terhebat.
"Mereka bermain dengan penuh semangat dan melakukan percubaan terbaik kerana pasukan lawan sudah diakui lebih kuat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
KUFC mencipta kejutan apabila berjaya menyekat skuad Harimau Selatan itu berpesta gol apabila sekadar meraih dua jaringan ketika bertandang di Stadium Sultan Muhammad IV.
Usaha KUFC pada separuh masa pertama turut menyekat penguasaan JDT di atas padang sehingga keputusan akhir menyaksikan JDT- 2, KUFC-0.
Pada masa sama Alton turut menghargai lawan yang terpaksa bermandi peluh untuk menghasilkan gol di Kota Bharu.
"Walaupun turun tanpa beberapa tonggak penting akibat kecederaan, KUFC mempamerkan persembahan yang bagus dan melakukan apa yang direncanakan ketika persiapan berdepan JDT.
"Pemain menunjukkan prestasi sangat baik sehingga minit ke -74 apabila gol KUFC dibolosi Fernando Martin Forestieri diikuti gol kedua oleh Bergson Da Silva.
"Kami berharap ini adalah pengalaman yang dikutip sebagai persediaan perlawanan lain selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Brazil itu memberitahu selepas ini, beliau akan memberi fokus kepada menentang Kuching City FC dalam saingan Piala Cabaran memandangkan perlawanan berlangsung pada sebelah petang.
"Saya merancang banyak perkara tetapi biarlah mereka berehat dahulu sebelum menyambung latihan.
JDT mengesahkan kejuaraan di Liga Super September lalu selepas memenangi 22 daripada 23 perlawanan dengan kelebihan 15 gol berbanding pasukan di tangga kedua liga, Selangor FC.
Kemenangan malam tadi juga menjadikan JDT lawan ke-15 menewaskan KUFC sepanjang saingan liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!