'Naik tongkang, jalan kaki sejam dalam hutan masuk Malaysia'

Asma antara warga asing yang ditahan dalam Ops Sabung di Bandar Baru Nilai
Asma antara warga asing yang ditahan dalam Ops Sabung di Bandar Baru Nilai
A
A
A

NILAI - Dijanjikan masuk ke negara ini untuk bekerja secara sah dengan dikenakan bayaran RM8,000, namun ditipu ejen yang menghilangkan diri secara tiba-tiba bersama dokumen perjalanannya.

Itu dakwa seorang wanita warga Indonesia yang ditahan dalam Ops Sabung di Bandar Baru Nilai dekat sini pada malam Sabtu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Asma, 50, mengakui melalui pengalaman perit apabila terpaksa menaiki tongkang selama lima jam sebelum berjalan kaki selama satu jam di dalam hutan sebaik sampai di negara ini.

"Saya nak datang ke Malaysia kerana mahu bekerja dan tertarik dengan tawaran ejen pekerjaan, katanya semua dokumen akan diuruskan dengan bayaran RM8,000.

"Tapi apabila tiba waktunya, ejen itu menghilangkan diri dan gagal dihubungi, malah saya dicampak naik tongkang dari Dumai (Indonesia) untuk ke negara ini dan bukannya diturunkan di pelabuhan, tapi di kawasan hutan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia kemudian bersama beberapa lagi warga asing perlu berjalan kaki dan sampai di satu lokasi di Perak sebelum dijemput oleh sebuah kenderaan.

Asma yang bekerja kali pertama sebagai pengasuh di Perak berkata, keputusannya bekerja di negara ini kerana mampu memperoleh pendapatan lebih lumayan berbanding di kampung halamannya.

"Kerja di kampung gaji tak cukup dan saya pula ibu tunggal perlu menanggung empat anak yang masih belajar.

Artikel Berkaitan:

"Saya sekarang bekerja sebagai pengasuh di Sepang, Selangor dan datang ke Nilai ini nak jumpa kawan kerana diberi cuti oleh majikan, tapi nasib saya kena tahan pula," ujarnya.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang ditemui ketika Ops Sabung itu berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas timbul isu berkenaan lambakan warga asing di negeri ini khususnya di kawasan Seremban dan Nilai.

“Op Sabung merupakan suatu bentuk atur gerak operasi bersepadu seluruh agensi keselamatan dan penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan bagi menangani sebarang isu keselamatan dan ketenteraman awam terutamanya lokasi-lokasi panas yang telah dikenal pasti di daerah Seremban serta Nilai.

“Operasi ini tidak terhad dan terikat kepada isu-isu berkaitan warga asing sahaja sebaliknya turut memberi tumpuan kepada perkara lain melibatkan pelanggaran undang-undang, akta, peraturan dan enakmen seperti jenayah, penyelewengan, penyeludupan, salah guna permit dan lesen serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang diadakan selama enam hari bermula 24 Oktober lalu melibatkan kekuatan 350 pegawai dan anggota daripada 10 jabatan dan agensi keselamatan serta penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Briged Pertama Infantri Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban.

“Sehingga jam 6 petang semalam (28 Oktober 2023), Ops Sabong telah berjaya melaksanakan 17 operasi bersepadu dengan lebih 1,000 warga asing diperiksa dan 185 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Sebanyak 254 premis telah diperiksa dan lima premis telah disita manakala sejumlah 388 kompaun dan saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Ujarnya, sejumlah 600 botol dan tin bir serta 51 peket rokok pelbagai jenama yang diseludup dan disyaki mengelak daripada dikenakan cukai Kastam serta 10 peket syabu dan 16 peket heroin telah dirampas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!