Najib jawab tuduhan terbaharu WSJ
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mengambil maklum berhubung laporan Wall Street Journal (WSJ) hari ini yang mengaitkan 'pemeteraian janji' beliau dengan China.
Katanya, beliau memberikan beberapa fakta bagi menjawab laporan WSJ, antaranya menyebut bahawa China pada 2016 menawarkan untuk menebus 1MDB yang berdepan masalah kewangan sebagai balasan untuk projek saliran paip bawah program 'One Belt, One Road'.
"Saya ambil maklum tuduhan-tuduhan terbaru dari WSJ hari ini dan saya nak berikan beberapa fakta:
Tuduhan 1: Rundingan sulit bagi membenarkan kapal tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia.
Malaysia ialah negara berkecuali dan kapal tentera dari mana-mana negara berhak dan sering berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia. Ini ialah satu polisi yang sudah dilaksanakan selama berpuluh tahun.
Ini termasuk kapal-kapal perang dari Amerika Syarikat dan Rusia yang pernah berlabuh di Malaysia.
Sebagai contoh, kapal perang USS America berlabuh di Sepanggar, Sabah pada bulan Ogos 2017.
Pada 2004, Kapal USS Blue Ridge turut berlabuh di Pelabuhan Klang.
Tuduhan 2: China menawarkan untuk mengintip rumah dan pejabat wartawan yang menyiasat 1MDB di Hong Kong.
Seperti dilaporkan oleh WSJ ini juga tidak pernah berlaku.
Tuduhan 3: China menawarkan untuk menyelamat (bail-out) 1MDB.
Seperti dilaporkan oleh WSJ dan diketahui ramai, ini juga tidak pernah berlaku. Malaysia terus berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020.
Tuduhan 4: China menawarkan untuk menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan Amerika Syarikat dan negara lain menggugurkan siasatan terhadap 1MDB.
Seperti dilaporkan oleh WSJ juga, semua negara termasuk Amerika Syarikat tidak menghentikan siasatan mereka masing-masing di sebalik dakwaan itu.
Tuduhan 5: Projek-projek saluran paip gas adalah dianugerah kepada China dengan harga atas nilai pasaran.
Selama ini, tidak pernah ada tuduhan bahawa projek saluran paip gas adalah luar biasa tinggi harganya.
Projek saluran gas Trans-Sabah Pipeline yang dianugerahkan kepada syarikat China pada tahun 2016 yang panjangnya 662km bernilai RM4.06 bilion.
Sebagai perbandingan, projek Sabah–Sarawak Gas Pipeline yang panjangnya 500km yang dianugerah kepada konsortium dari India pada tahun 2008 telah disiapkan dengan kos RM4.6 bilion.
Tuduhan 6: Projek ECRL dianugerahkan kepada syarikat China pada harga RM55 bilion adalah luar biasa tinggi.
Projek ECRL dicadangkan oleh East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) sejak tahun 2007.
Pada tahun 2012 dan 2013, media tempatan melaporkan kos untuk projek ECRL sudah dianggar antara RM50 bilion kepada RM70 bilion.
Walaupun Pakatan Harapan (PH) sering menuduh kos projek ECRL ialah di atas harga pasaran dan ada yang mendakwa harga ECRL sebenar hanyalah RM30 bilion, mereka tidak pernah memberi sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Saya pernah bertanya PH berulang kali untuk mendedahkan mana-mana laporan yang menyebut kos ECRL hanya RM30 bilion dan juga untuk mengeluarkan laporan feasibiliti ECRL yang menunjukkan projek ECRL untung untuk negara namun tidak pernah sekalipun mereka menjawab.
Sebenarnya, angka RM30 bilion itu adalah kajian dibuat pada 2009 dan hanya untuk jarak 545km sahaja. Ia kemudiannya dilanjutkan kepada 620km.
Jajarannya juga berubah untuk menjadi lebih efisien dan mengelak dari pengambilan terlalu banyak tanah rakyat serta rumah mereka dan ia turut memerlukan pembinaan terowong sepanjang 50km merentasi Banjaran Titiwangsa.
Ia adalah fasa pertama projek ini dan telah menelan belanja RM46 bilion pada 2016 dan ia juga berikutan kesan daripada inflasi dan ringgit yang lemah. Jika projek ini dibina tujuh tahun selepas ini, ia akan menelan belanja lebih tinggi. Contohnya, kos bagi projek PTMP Pulau Pinang melonjak daripada RM27 bilion kepada RM50 bilion.
Sebagai bandingan, apabila kerajaan Pakatan Harapan tegas untuk membuat projek mega seperti projek lebuhraya Pan-Island Link 1 (PIL-1) sepanjang 19.5km yang dulunya dianggarkan menelan kos RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km) dan kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km) walaupun penduduk-penduduk Pulau Pinang membantah projek ini kerana ia melibatkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan.
Kenyataan media bagi beberapa projek keretapi di rantau ini akan dapat memberikan gambaran yang baik di mana kedudukan kos ECRL berbanding di negara lain.
1. Keretapi laju menghubungkan lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang and U-Tapao di Thailand diluluskan pada 2018. AS$7.2 bilion (RM29.5 bilion) bagi 260km = RM113 juta bagi setiap kilometer.
2. Keretapi laju menghubungkan Bangkok dengan daerah Nakhon Ratchasima diluluskan pada 2017. Kos AS$5.5 bilion (RM22.6 bilion) bagi 250 km = RM90.2 juta setiap kilometer.
3. Keretapi laju Indonesia dari Jakarta ke Bandung diluluskan pada 2017. Kos AS$5.9 bilion (RM24.2 bilion) bagi 250km = RM96.8 juta bagi setiap kilometer.
Perlu diingat bahawa perniagaan adalah dua hala. Selepas projek-projek ECRL dan saluran paip dianugerah pada akhir tahun 2016, eksport sawit dan getah kepada negara China telah melonjak naik dengan tinggi.
Pada tahun 2017, negara China naik menjadi negara pengimport minyak sawit kedua terbesar dari Malaysia berbanding tempat ke-4 untuk tahun sebelumnya.
Untuk tahun 2017 juga, negara China menjadi negara pengimport getah tertinggi dari Malaysia dan jauh berbeza juga dari tempat ke-4 terbesar untuk tahun 2016.
Pada pendapat saya, Malaysia perlu berhati-hati untuk mengelakkan negara terlibat di dalam hal-ehwal geopolitik antara dua kuasa besar hanya berdasarkan laporan dari media dan jangan mudah untuk menuduh negara lain kerana ianya akan merugikan untuk negara.
Sumber: Dipetik Facebook, Najib Razak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!