Ubah suai KSAS: Kelantan jamin tidak libat kawasan tadahan air

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memberi jaminan cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri itu tidak akan melibatkan kawasan punca air atau tadahan air.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, cadangan tersebut dibuat demi kepentingan rakyat bagi menyelaraskan pembangunan dan perancangan di negeri itu.

Ujar beliau, keputusan terhadap cadangan itu bagaimanapun masih dalam peringkat Program Publisiti dan Penyertaan Awam bermula 11 Oktober lalu sehingga 11 November ini.

“Kita masih di peringkat pendengaran awam (Program Publisiti dan Penyertaan Awam) dan cadangan ini dibuat supaya kami dapat selaraskan perancangan serta pembangunan terutamanya yang berkaitan dengan mineral.

“Apa-apa yang berkaitan dengan kawasan takungan air, tidak akan diganggu dan keputusan akan dibuat selepas hasil pendengaran awam ini diperoleh,” katanya selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini, pada Ahad.

Pada Jumaat, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu surat bercadang untuk menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian KSAS di negeri itu diteruskan.

Pengubahsuaian tersebut didakwa tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang diperkenalkan pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Mengulas lanjut berhubung surat daripada kementerian itu, Mohamed Fadzli memberitahu kerajaan negeri akan memberi maklum balas dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, Kelantan sedang meneroka hasil-hasil baharu yang memberi faedah kepada negeri itu.

“Jadi mana-mana kawasan yang kita kira ada hasil dan boleh dimanfaatkan untuk faedah negeri serta rakyat, kenapa tidak (diubah) kan.

“Kami pun akan mengambil kira cadangan daripada kementerian itu sebelum membuat apa-apa keputusan pengubahsuaian,” kata beliau.